Pasar Payang dipenuhi pengunjung sepanjang cuti sekolah

Batik, keropok jadi buruan pengunjung Pasar Payang

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Batik, aneka jenis keropok dan baju kaftan serta kelawar menjadi antara barangan wajib diborong pengunjung setiap kali berkunjung ke negeri ini sekali gus membuktikan produk tradisi masih menjadi tarikan utama.

Seawal pukul 8 pagi, suasana di Pasar Payang sudah mula dipenuhi pelancong dari pelbagai negeri yang tidak melepaskan peluang memilih koleksi kain batik dengan corak terkini selain memborong keropok, baju kaftan dan kelawar untuk dijadikan buah tangan.

Seorang pengunjung dari Pendang, Kedah, Athiyah Azizan, 35, berkata, dia teruja dapat membeli kain batik untuk dijadikan pakaian rasmi serta cenderahati buat rakan-rakan.

“Kalau datang Terengganu memang wajib cari batik. Corak dan warnanya lain daripada yang dijual di tempat lain, lebih eksklusif, susah nak jumpa di negeri lain,” katanya ketika ditemui.

Athiyah berkata, dia membeli lima helai batik sutera kerana harganya jauh lebih berpatutan berbanding butik di luar negara, malah sesuai dipakai ke pejabat mahupun majlis rasmi.

Bagi anak muda dari Sepang, Selangor, Nur Farathira Nawawi, 28, pula, kunjungannya kali ini lebih tertumpu untuk memborong baju kelawar kerana tertarik dengan pelbagai pilihan corak dengan harga berpatutan.

“Memang rambang mata tengok baju kelawar di sini, semuanya cantik dan selesa. Saya beli sepuluh helai untuk dipakai sebagai pakaian harian,” ujarnya.

Sementara itu, Norlela Baharudin, 41, dari Bangi, Selangor lebih gemar memborong aneka jenis keropok dan serunding untuk dijadikan buah tangan buat keluarga serta jiran tetangga.

“Keropok di sini memang rasa ikan dia lebih kuat. Saya beli enam kilogram, simpan dalam peti sejuk boleh tahan lama. Setiap kali datang memang tak pernah terlepas beli,” katanya.

Bagi peniaga batik, Halimah Mohamad, 53, berkata, lonjakan jualan ketika musim cuti panjang ini dianggap rezeki besar apabila barangan popular seperti batik, baju kelawar dan keropok sering habis lebih awal.

Katanya, pelancong dari luar Terengganu sentiasa menunggu cuti panjang untuk memborong koleksi baharu yang dihasilkan  para pengusaha tempatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×