TEMERLOH: Polis menumpaskan dua kumpulan penjenayah yang terlibat dalam kegiatan mencuri kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan menahan lapan suspek, sekali gus membongkar kerugian hampir RM1 juta yang menjejaskan kelancaran projek mega itu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejayaan itu hasil operasi khas yang digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang sepanjang 1 hingga 13 September lalu berikutan enam laporan kes kecurian kabel ECRL yang direkodkan sejak Ogos.
“Kesemua tangkapan melibatkan suspek berusia antara 29 tahun hingga 45 tahun. Daripada jumlah itu, enam individu adalah suspek utama kegiatan mencuri kabel manakala dua lagi dikesan sebagai pembeli,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Lanchang, di sini hari ini.
Menurut Yahaya, tujuh daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah manakala ujian air kencing mendapati lima daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.
“Sepanjang operasi itu, polis merampas pelbagai barangan dengan nilai keseluruhan RM100,000 termasuk dua lori, sebuah kereta Proton Wira, kabel tembaga seberat lebih 1,000 kilogram, mesin pemotong kabel, grinder dan bolt cutter,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek beroperasi dalam dua kumpulan dikenali sebagai Geng Musang dan Geng Jep Gambang.
“Geng Musang terdiri daripada tujuh suspek yang ditahan serta tiga lagi masih bebas. Kumpulan ini dipercayai diketuai seorang warga Kemboja yang masih bebas dan aktif merancang kegiatan mencuri kabel di tapak projek ECRL. Mereka terbabit dalam satu kes kecurian di Bentong dan tiga kes di Temerloh.
“Sementara itu, Geng Jep Gambang membabitkan seorang suspek yang sudah ditahan dan seorang lagi masih bebas, dipercayai terbabit dalam dua kes di Kuantan,” jelasnya.
Menurutnya, kabel tembaga yang dicuri sepanjang kira-kira empat kilometer daripada keseluruhan jajaran 258 kilometer ECRL dari Cherating ke Bentong yang melibatkan tujuh stesen utama.
“Jumlah keseluruhan kerugian ditaksir RM825,000 dan ia sudah pasti menjejaskan kelancaran jadual projek ECRL yang dijangka siap pada penghujung tahun 2026,” katanya. – UTUSAN










