Tidak wajar isu matrikulasi jadi kes siasatan jenayah - LFL

Tidak wajar isu matrikulasi jadi kes siasatan jenayah – LFL

ZAID MALEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbezaan pandangan dalam wacana awam tidak seharusnya dijadikan asas untuk siasatan jenayah berhubung tindakan polis menyiasat Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) susulan kenyataan mengenai cadangan pemansuhan sistem matrikulasi.

Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata, kenyataan Umany yang mencadangkan penggunaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai penanda aras tunggal kemasukan ke universiti awam perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perbincangan dasar, bukannya kesalahan jenayah.

“Siasatan ini keterlaluan, tidak sah dan merupakan penyalahgunaan kuasa polis. Bagaimana ia boleh dianggap satu kesalahan? Hanya pemerintahan diktator yang menutup ruang kritikan terhadap dasar kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, wacana mengenai sistem pendidikan negara adalah isu kepentingan umum yang dilindungi Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu hak kebebasan bersuara dan berpendapat.

“Adalah tidak masuk akal untuk menyandarkan siasatan ini kepada alasan mencetuskan ‘ketidakpuasan awam’ atau ‘kebimbangan awam’. 

“Perbezaan pendapat lumrah dalam masyarakat demokratik dan sama sekali tidak boleh dijadikan asas siasatan jenayah,” katanya.

Pada 12 September lalu, kenyataan Presiden Umany, Tang Zi Ye mengenai cadangan pemansuhan matrikulasi menerima kecaman beberapa parti politik sehingga membawa kepada permohonan maaf persatuan itu.

Bagaimanapun, Umany menegaskan cadangan pelaksanaan sistem peperiksaan itu bukan isu perkauman, sebaliknya usaha untuk mewujudkan proses kemasukan universiti yang adil dan telus.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri M. Kumar mengesahkan lima laporan polis dibuat berhubung kenyataan tersebut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Zaid turut mempersoalkan perbezaan layanan terhadap pihak lain yang lantang menyuarakan isu pendidikan termasuk gesaan berulang kali agar sekolah vernakular dimansuhkan tanpa sebarang tindakan diambil.

Katanya, semua siasatan terhadap Umany perlu dihentikan segera dan pihak polis perlu diberikan pemahaman jelas mengenai prinsip asas undang-undang bahawa kebebasan bersuara adalah hak perlembagaan yang perlu dihormati.

“Apakah hanya mereka dalam kerajaan perpaduan sahaja yang dibenarkan bersuara? Perbezaan layanan ini jelas menunjukkan penganiayaan terpilih apabila dibandingkan dengan siasatan terhadap Umany,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×