ALOR SETAR: Muktamar Tahunan Pas ke-71 meluluskan lima usul sempena persidangan itu semalam termasuk penegasan bahawa parti itu bukan sahaja layak tetapi wajib menerajui Perikatan Nasional (PN).
Resolusi tersebut diumumkan lulus oleh Pengerusi Tetap, Hussin Ismail selepas mendapat persetujuan semua perwakilan.
Usul di bawah tajuk pemerkasaan PN itu dibawa Perwakilan Dewan Pemuda Pas, Muhammad Faizudin Mohd. Zai dan disokong wakil Pas Kawasan Shah Alam, Mohamed Sukri Omar.
Menurut Muhammad Faizudin, Pas bukan sekadar rakan komponen dalam PN tetapi adalah parti teras yang bersedia menerajui kepimpinan negara berbekalkan pengalaman hampir 74 tahun dalam politik tanah air.
Dalam pada itu, Pas Kawasan Batu di bawah usul ekonomi dan sara hidup mendesak kerajaan segera mengkaji semula dasar percukaian negara dan menghentikan sebarang bentuk kenaikan cukai yang tidak mengambil kira kesejahteraan rakyat.
Wakilnya, Azhar Mohamad Ali berkata, mereka membantah langkah kerajaan yang terus menaikkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), cukai ke atas barangan tertentu dan cukai pendapatan individu, sedangkan rakyat sedang terbeban dengan kos sara hidup.
Muktamar turut meluluskan usul menolak sekeras-kerasnya Akta Pembaharuan Bandar (URA) yang jelas mengancam hak rakyat dan masa depan generasi muda yang dibentangkan wakil Pas Kawasan Titiwangsa, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.
Katanya, Pas tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan mobilisasi rakyat secara besar-besaran sekiranya kerajaan tetap berdegil mempertahankan undang-undang zalim itu.
Turut diluluskan secara sebulat suara adalah usul antarabangsa iaitu pendirian tanpa kompromi untuk terus membela perjuangan rakyat Palestin yang sedang berhadapan serangan berterusan rejim Zionis.
Pembentangnya, Dr. Ridhuan Md. Nor yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, solidariti bukan sahaja dalam bentuk sokongan moral dan diplomatik tetapi penglibatan langsung wakil Pas dalam program kemanusiaan termasuk Sumud Flotila.
Sementara itu, usul sosial dibentangkan wakil Dewan Muslimat Pas, Husna Hashim mengangkat isu buli sebagai masalah sosial serius yang semakin membarah dalam masyarakat.
Beliau turut mengusulkan agar kerajaan segera menggubal akta anti buli, memperkukuh program kesedaran di sekolah, menubuhkan salura aduan khas selain mewajibkan kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah berasrama penuh sebelum sesi persekolahan 2026.-UTUSAN










