Pesta kutip kerang Pantai Tanjung Kepah - Utusan Malaysia

Pesta kutip kerang Pantai Tanjung Kepah

ORANG ramai mengutip kerang yang terdampar akibat fenomena ombak besar di Pantai Tanjung Kepah, Lekir, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Fenomena alam semula jadi musim tengkujuh menarik kehadiran ratusan orang ke pesisiran Pantai Tanjung Kepah, Batu 9 Lekir di sini untuk me­ngutip kerang, sejak lebih seminggu lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pantai yang biasa­nya sunyi kini menjadi tumpuan penduduk dari sekitar Lekir, Sungai Tiram dan kawasan berdekatan yang datang bersama keluarga untuk mengutip kerang.

Penduduk, Intan Ibni, 24, berkata, dia pulang ke kampung halamannya di Sungai Tiram setiap kali musim tengkujuh kerana tidak mahu melepaskan peluang menyertai fenomena yang jarang berlaku itu.

“Sudah hampir dua minggu kami datang ke sini. Baru tiga hari turun kutip, saya sudah dapat kutip 26 kilogram kerang, cukup untuk makan sendiri,” katanya.

Intan berkata, suasana di pantai itu ibarat pesta keluarga apabila ramai yang membawa anak-anak dan sanak saudara untuk turut serta mencari kerang.

ORANG ramai menunjukkan kerang yang berjaya dikutip di Pantai Tanjung Kepah, Lekir, Perak.

Seorang lagi pengunjung, Mohd. Faikurizal Mohd. Rizal, 25, berkata, ini adalah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Pantai Tanjung Kepah setelah diberitahu oleh tunangnya mengenai fenomena itu.

“Kebetulan cuti Hari Malaysia, saya terus pulang kampung. Kami siap bawa bakul, guni, tong ikan untuk kutip kerang. Seronok apabila dapat kumpul banyak dan bawa balik untuk masak lemak kerang dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, nelayan tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Yasin berkata, fenomena itu berlaku akibat pergerakan ombak kuat semasa musim tengkujuh yang menolak lapisan selut dan kerang dari tengah laut ke pesisir pantai.

“Pantai ini memang berselut. Bila hujan lebat dan ribut, ombak tolak selut ke darat bersama kerang, ada yang besar, tapi kebanyakannya benih. Biasanya fenomena ini berlaku antara September hingga Februari,” katanya.

Yasin berkata, anggaran benih kerang yang terdampar di pantai itu boleh mencecah antara 20 hingga 50 tan.

“Ini menjadikan ia satu peluang keemasan untuk penduduk dan nelayan yang tidak dapat turun ke laut disebabkan cuaca buruk ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×