JAKARTA: Kumpulan penunggang motosikal e-hailing di Indonesia bersedia melancarkan gelombang gerakan besar-besaran yang dinamakan sebagai Revolusi Ojol, jika kerajaan masih gagal membela nasib pekerja industri itu.
Pengerusi Presiden Kebangsaan Indonesia dari Persatuan Bantuan Dua Roda (Garda), Raden Igun Wicaksono menegaskan, berjuta-juta penunggang e-hailing atau ojol bersedia untuk turun ke jalanan bagi mendesak undang-undang baharu yang melindungi pekerja gig di Indonesia.
“Presiden dan naib presiden berjanji menyediakan pekerjaan, namun sehingga kini ia tidak berlaku. Golongan muda yang sepatutnya bekerja dalam sektor formal akhirnya menjadi pemandu ojol dan nasib mereka diabaikan,” katanya.
Ribuan penunggang motosikal e-hailing akan kembali berkumpul di Parlimen pada Rabu, bagi menuntut undang-undang melindungi pekerja gig yang menjadi ‘nadi’ kepada ekonomi terbesar Asia Tenggara.
Raden berkata, kira-kira 2,000 hingga 5,000 penunggang ojol dijangka berhimpun selepas gelombang demonstrasi besar bulan lalu, yang disertai hampir 50,000 pemandu.
Pertembungan itu menjadikan hampir dua juta penunggang teksi motosikal sebagai liabiliti politik terbaharu Presiden Prabowo Subianto.
Fenomena ojol menjadi simbol krisis pekerjaan di Indonesia apabila 59 peratus tenaga kerja negara masih berada dalam sektor tidak formal, bergantung kepada pendapatan kecil tanpa jaminan keselamatan sosial.
Kajian disokong Yayasan Bill dan Melinda Gates mendapati, pemandu ojol di Jakarta hanya memperoleh sekitar AS$163 (RM685) sebulan, separuh daripada kadar gaji minimum di ibu negara.
Kekecewaan itu ditambah dengan kelemahan kerajaan menyediakan perlindungan sosial, kerana hanya 12 peratus pemandu berdaftar dengan skim keselamatan pekerjaan dan hampir 20 peratus mengaku tidak mampu menampung perbelanjaan asas keluarga.
Protes bulan lalu bertukar ganas selepas seorang penghantar makanan berusia 21 tahun maut dilanggar kenderaan polis, sekali mencetuskan rusuhan dahsyat sehingga pejabat kerajaan dibakar dan rumah anggota Dewan Rakyat dirosakkan.- BLOOMBERG










