SINGAPURA: Harga emas melonjak ke paras tertinggi baharu pada Selasa, disokong oleh kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) minggu ini, di mana pasaran menjangka bank pusat itu akan menurunkan kadar pinjaman.
Menurut laporan Reuters, emas spot naik 0.1 peratus kepada AS$3,680.17 seauns (RM496.71 segram) pada awal dagangan selepas mencecah rekod baharu AS$3,689.27 (RM497.92 segram).
Niaga hadapan emas AS untuk penghantaran Disember pula kekal mendatar pada AS$3,718.80 seauns (RM501.55 segram).
Dolar AS diniagakan berhampiran paras terendah dua setengah bulan berbanding euro dan hampir paras terendah 10 bulan berbanding dolar Australia yang sensitif kepada risiko.
Kejatuhan dolar menjadikan emas lebih murah bagi pemegang mata wang lain.
Dalam hantaran di media sosial pada Isnin, Presiden AS Donald Trump menggesa Pengerusi Fed Jerome Powell agar melaksanakan pemotongan kadar lebih besar.
Menurut CME FedWatch, pedagang kini meletakkan hampir pasti pemotongan 25 mata asas pada akhir mesyuarat dua hari Fed pada 17 September, dengan kemungkinan kecil pemotongan 50 mata asas.
Kadar faedah yang lebih rendah mengurangkan kos peluang memegang emas yang tidak memberi hasil.
SPDR Gold Trust, dana dagangan bursa berasaskan emas terbesar dunia melaporkan pegangan emasnya meningkat 0.21 peratus kepada 976.80 tan pada Isnin, berbanding 974.80 tan pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, mahkamah rayuan AS menolak permintaan Trump untuk memecat Gabenor Fed, Lisa Cook, sekali gus menambah ketegangan dalam pergelutan undang-undang yang boleh menjejaskan kebebasan bank pusat itu.
Bagi logam berharga lain, perak kekal stabil pada AS$42.71 seauns, platinum susut 0.1 peratus kepada AS$1,399.40, manakala paladium menokok 0.4 peratus kepada AS$1,188.59. – AGENSI










