MADRID: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menggesa agar Israel diharamkan daripada menyertai acara sukan antarabangsa susulan perang di Gaza.
Sanchez turut memuji ribuan penunjuk perasaan yang berjaya menghentikan peringkat terakhir perlumbaan berbasikal berprestij, Vuelta a Espana, pada 14 September di Sepanyol.
Beliau menegaskan Israel perlu dikenakan tindakan sama seperti Russia yang digantung daripada pertandingan antarabangsa selepas pencerobohan ke atas Ukraine, kenyataan yang menimbulkan kemarahan Israel serta parti konservatif Sepanyol.
“Pendiran kami jelas dan tegas, selagi kekejaman berterusan, sama ada Russia mahupun Israel tidak seharusnya dibenarkan menyertai mana-mana pertandingan antarabangsa,” kata Sanchez.
Pemimpin Sepanyol itu kini muncul sebagai antara pengkritik paling lantang di Eropah terhadap tindakan Israel di Gaza, yang menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menyebabkan rakyat Palestin berdepan kebuluran.
“Badan sukan perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah beretika untuk Israel terus diberi ruang bersaing di pentas antarabangsa?
“Mengapa Russia digantung selepas menceroboh Ukraine, sedangkan Israel tidak berdepan penggantungan walaupun menceroboh Gaza?,” katanya.
Menurut dokumen rasmi yang diperoleh AFP pada Isnin, kerajaan Sepanyol telah membatalkan kontrak bernilai hampir €700 juta (RM3.46 bilion) untuk pelancar roket rekaan Israel.
Minggu lalu, kerajaan Sanchez turut mengumumkan beberapa langkah yang digambarkan sebagai usaha menghentikan genosid di Gaza.
Kira-kira 100,000 penunjuk perasaan berhimpun sempena peringkat akhir Vuelta pada Ahad yang akhirnya dihentikan sekitar 60 kilometer sebelum garisan penamat di pusat bandar Madrid. Beberapa insiden pergelutan kecil dilaporkan berlaku dengan pihak polis.
Penunjuk perasaan mengecam penyertaan pasukan Israel-Premier Tech yang dimiliki oleh pemaju hartanah Israel-Kanada, Sylvan Adams.
Pada hari sama, peserta protes merempuh penghadang dan berdiri di atas jalan raya yang dijadualkan menjadi laluan pelumba. Polis pada awalnya cuba menghalang, namun akhirnya membenarkan penunjuk perasaan menguasai laluan secara aman. -AGENSI











