PETALING JAYA: Malaysia bersama negara-negara Islam lain sepakat memberikan sokongan penuh terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan rakus rejim Zionis Israel, di samping memperkukuh solidariti untuk membela Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan itu dizahirkan ketika pertemuan ringkas dengan pemimpin dunia Islam termasuk Perdana Menteri dan Putera Mahkota Arab Saudi, Presiden Turkiye, Raja Jordan, Presiden Pakistan serta Putera Mahkota Kuwait di sela-sela Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar.
“Kami menekankan sokongan penuh terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan biadab rejim Zionis Israel, selain memperkukuh kesepakatan untuk membela Palestin.
“Fokus utama adalah memastikan tindakan bersama yang lebih tegas bagi menamatkan pencerobohan Israel, mempertahankan kedaulatan negara Arab-Islam serta menjamin hak rakyat Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, Malaysia akan memanfaatkan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini untuk menegaskan pendirian negara berhubung isu Gaza serta serangan Israel ke atas Qatar.
Katanya, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia komited membawa suara solidariti terhadap Palestin di platform serantau itu bagi menarik perhatian pemimpin kuasa besar dunia.
“Pada pertemuan dengan Presiden Trump, kita akan gunakan kesempatan tersebut untuk menegaskan pendirian Malaysia dalam usaha menuntut keadilan khususnya berkaitan Gaza dan Palestin,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berlepas pulang ke tanah air selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan delegasi Malaysia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada 8.10 malam waktu tempatan (1.10 pagi tadi waktu Malaysia).
Anwar dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pagi ini sebelum menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth pada sebelah malam. – UTUSAN










