NEW YORK: Seorang pengacara rancangan bual bicara Fox & Friends, Brian Kilmeade, memohon maaf selepas menerima kecaman hebat berikutan kenyataannya yang mencadangkan gelandangan berpenyakit mental diberikan suntikan maut.
Kilmeade mengaku kenyataan ketika siaran pada 10 September lalu berhubung pembunuhan seorang wanita Ukraine di Carolina Utara, sebagai ‘keterlaluan dan kejam’.
Dalam segmen itu, rakan pengacaranya, Lawrence Jones berkata, golongan gelandangan yang mengalami sakit mental perlu menerima rawatan atau dipenjara.
Namun, Kilmeade dengan segera menambah cadangan itu kepada suntikan maut secara paksa atau sebarang langkah lain yang boleh membunuh mereka.
“Saya memohon maaf atas kenyataan yang terlalu kejam itu.
“Saya sedar tidak semua gelandangan yang berpenyakit mental bertindak seperti supek di Carolina Utara, malah ramai dalam kalangan mereka yang layak menerima simpati dan belas ihsan kita,” kata Kilmeade ketika bersiaran, kelmarin.
Seorang lelaki berusia 34 tahun dengan rekod jenayah panjang didakwa atas pembunuhan wanita terbabit.
Menurut ibunya kepada stesen televisyen tempatan, suspek pernah dimasukkan ke hospital secara paksa dan disahkan menghidap skizofrenia.
Fox & Friends yang disiarkan di rangkaian Fox News masih belum memberikan sebarang respons berhubung kenyataan Kilmeade itu, lapor Reuters.











