Sekatan besar hanya jika NATO henti import minyak Russia - Trump

Sekatan besar hanya jika NATO henti import minyak Russia – Trump

DONALD Trump menghadiri sidang media semasa sidang kemuncak NATO di The Hague pada 25 Jun lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi kata dua kepada sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) apabila menegaskan sekatan besar-besaran terhadap Russia hanya akan dilaksanakan sekiranya semua negara anggota menghentikan pembelian minyak dari Moscow.

Dalam satu kenyataan yang dikongsikan di media sosial semalam, Trump berkata, beliau sudah mengutuskan surat kepada pemimpin-pemimpin NATO menuntut tindakan tegas itu diambil secara kolektif.

“Saya bersedia melaksanakan sekatan besar terhadap Russia apabila semua negara NATO bersetuju, memulakan langkah sama dan berhenti membeli minyak dari Russia,” kata beliau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Trump turut menyelar sikap beberapa negara NATO yang menurutnya masih bergantung kepada minyak Russia sehingga melemahkan kedudukan rundingan dengan Moscow.

“Komitmen NATO untuk menang masih jauh daripada 100 peratus. Pembelian minyak Russia oleh sesetengah anggota sangat mengejutkan. Ia melemahkan kuasa tawar-menawar anda dengan Russia. 

“Apa pun, saya sedia bergerak apabila anda semua sudah bersedia. Cuma katakan bila?” katanya lagi.

Dalam masa sama, Trump menggesa negara-negara NATO mengenakan tarif antara 50 hingga 100 peratus terhadap China sebagai tanda kekuatan kolektif Barat, dengan harapan mampu menamatkan peperangan dengan lebih cepat.

Bagaimanapun, penganalisis menjangkakan cadangan tersebut sukar direalisasikan memandangkan Kesatuan Eropah (EU) lebih berhati-hati dalam penggunaan tarif, khususnya terhadap China yang merupakan rakan dagang utama blok itu.

Menurut data Eurostat, import minyak Russia ke Eropah sudah menurun secara mendadak sejak larangan ke atas penghantaran melalui laut dilaksanakan. 

Nilai import minyak pada suku pertama 2025 hanya berjumlah 1.48 bilion euro (RM7.3 bilion), berbanding 14.06 bilion euro (RM69.38 bilion) pada tempoh sama 2021.

Namun, beberapa negara EU seperti Hungary dan Slovakia masih menikmati pengecualian, manakala Turkiye yang juga anggota NATO kekal sebagai pembeli utama minyak Russia selepas China dan India.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×