Banteras buli dengan menyeluruh

Banteras buli dengan menyeluruh

HANYA melalui kerjasama erat semua pihak, negara dapat membina persekitaran yang lebih selamat untuk anak-anak membesar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAWATANKUASA Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat, Parlimen Malaysia telah menganjurkan dialog awam “Hentikan Buli: Suara Rakyat, Tanggungjawab Kita” di Parlimen.

Jawatankuasa ini telah membentangkan satu penyata di Dewan Rakyat pada 26 Ogos 2025 berkenaan buli dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia dan menganjurkan satu taklimat khas berkenaan isu buli kepada semua Ahli Dewan Rakyat, pada 20 Ogos 2025 bagi memberi pendedahan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai definisi, bentuk-bentuk serta kesan buli terhadap mangsa, pelaku, dan komuniti sekolah dan status kes buli di Malaysia.

Dialog awam ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, wakil exco negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta wakil persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

Isu buli di Malaysia semakin membimbangkan dengan peningkatan kes yang dilaporkan dari tahun ke tahun. Bentuk buli juga semakin kompleks, merangkumi buli fizikal, lisan dan buli siber. Ada kes yang membawa kepada kecederaan serius, kemurungan dan cubaan membunuh diri.

Sehubungan itu, dialog ini berperanan sebagai platform penting untuk mendengar suara rakyat secara langsung, termasuk pengalaman mangsa, pandangan ibu bapa, perspektif pendidik, serta cadangan daripada pakar dan pertubuhan masyarakat sivil. Semua dapatan akan dikumpulkan dan dirumus dalam satu laporan rasmi jawatankuasa, yang seterusnya akan dibentangkan di Dewan Rakyat sebagai asas kepada syor dasar dan tindakan susulan.

Usaha membanteras buli memerlukan sinergi yang menyeluruh antara Parlimen, kerajaan negeri, agensi kerajaan, institusi pendidikan, NGO, PIBG dan seluruh masyarakat. Hanya melalui kerjasama erat semua pihak, negara dapat membina persekitaran yang lebih selamat untuk anak-anak membesar, sekali gus melahirkan generasi yang seimbang, berakhlak mulia dan berdaya saing. Sesi dialog awam ini diharap menjadi titik permulaan penting untuk menggerakkan perubahan ke arah budaya hormat-menghormati, empati dan kepedulian dalam kalangan rakyat Malaysia. – UTUSAN

PARLIMEN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×