Trump rancang naikkan harga ubat di pasaran antarabangsa

Trump rancang naikkan harga ubat di pasaran antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu syarikat farmaseutikal menurunkan harga ubat-ubatan di pasaran domestik tetapi menekan mereka supaya menaikkan harga di negara lain sebagai langkah mengimbangi kerugian mereka.

Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick berkata, langkah itu merupakan strategi baharu pentadbiran Trump dalam menangani isu kos ubat yang membebankan rakyat.

“Presiden akan menegaskan kepada pengeluar bahawa mereka tidak boleh menjual di AS sekiranya masih sanggup menawarkan ubat pada harga murah di luar negara. Hentikan kesediaan menjual pada harga terlalu rendah di pasaran luar,” katanya dalam rancangan The Axios Show, semalam dipetik CNN.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut laporan, usaha Trump tertumpu kepada pelaksanaan dasar Most Favored Nation (MFN) iaitu memaksa syarikat farmaseutikal menawarkan harga yang sama di AS seperti di Eropah dan negara maju lain.

Trump sebelum ini berulang kali mendakwa pesakit di AS menanggung kos subsidi kepada negara lain, apabila rakyat membayar hampir tiga kali ganda berbanding pengguna di negara tersebut pada tahun 2022.

Namun, pakar undang-undang mempersoalkan bidang kuasa presiden untuk menetapkan harga ubat di luar negara, malah sebarang arahan seumpama itu dijangka mencetuskan tindakan mahkamah.

Ketika penggal pertamanya, Trump pernah memuktamadkan peraturan MFN yang mewajibkan Medicare membayar harga terendah untuk 50 jenis ubat.

Bagaimanapun, inisiatif itu disekat mahkamah atas alasan prosedur sebelum akhirnya dimansuhkan oleh pentadbiran Joe Biden.

Pada Mei lalu, beliau menghidupkan semula usaha itu menerusi satu perintah eksekutif dengan memberi amaran kepada syarikat farmaseutikal supaya menawarkan harga terendah kepada pesakit AS atau berdepan tindakan balas.

Tidak berpuas hati dengan hasil rundingan, Trump turut menghantar surat kepada 17 Ketua Pegawai Eksekutif syarikat farmaseutikal utama, menuntut mereka melaksanakan harga MFN untuk semua ubat Medicaid serta menjamin harga yang sama kepada Medicare dan syarikat insurans swasta.

Selain itu, beliau mendesak pengeluar menjual ubat tertentu terus kepada pengguna pada harga MFN dengan memotong peranan orang tengah yang sering menaikkan kos.

Sehingga kini, tekanan tersebut masih belum membuahkan hasil ketara dan sebagai tindak balas, Trump mengancam untuk mengenakan tarif terhadap ubat-ubatan import, khususnya yang berjenama dan mahal.

Bagaimanapun, pakar industri percaya langkah itu lebih berpotensi mendorong kenaikan harga ubat di negara lain, berbanding penurunan harga di AS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×