Forum tebusan Israel namakan Netanyahu penghalang utama tamatkan perang Gaza

Forum tebusan Israel namakan Netanyahu penghalang utama tamatkan perang Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Sebuah kumpulan utama yang memperjuangkan pembebasan tebusan Israel di Gaza mendakwa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menjadi penghalang terbesar usaha membawa mereka pulang, hanya beberapa jam selepas beliau menuduh pemimpin Hamas sebagai punca perang berlanjutan.

Dalam kenyataannya semalam, Hostages and Missing Families Forum menegaskan serangan Israel ke atas mesyuarat pemimpin Hamas di Qatar baru-baru ini membuktikan Netanyahu sendiri yang menggagalkan peluang perjanjian.

“Setiap kali rundingan hampir mencapai persetujuan, Netanyahu yang mensabotajnya. Satu-satunya penghalang untuk membawa pulang tebusan dan menamatkan perang adalah Perdana Menteri Netanyahu,” kata kumpulan itu.

Terdahulu, Netanyahu menulis di platform X menghapuskan pemimpin Hamas di Qatar akan menamatkan perang, sambil menuduh mereka menggagalkan usaha gencatan senjata sebelum ini.

“Ketua pengganas Hamas di Qatar tidak mempedulikan rakyat Gaza. Mereka menyekat semua usaha gencatan senjata semata-mata untuk melanjutkan perang tanpa kesudahan. Menghapuskan mereka bermakna menghapuskan halangan utama pembebasan semua tebusan dan menamatkan perang,” katanya.

Bagaimanapun, forum itu menolak dakwaan tersebut sebagai alasan baharu Netanyahu untuk menutup kegagalannya.

“Masa sudah tiba untuk menghentikan alasan-alasan yang hanya bertujuan membeli masa supaya beliau boleh terus berpaut pada kuasa. Kelewatan ini mengancam nyawa baki tebusan yang masih hidup selepas hampir dua tahun dalam tawanan, serta menjejaskan peluang memulangkan mayat mereka yang telah meninggal dunia,” tegas kenyataan itu lagi.

Pada 7 Oktober 2023, kumpulan Hamas menculik 251 orang dalam serangan mengejut ke atas Israel.

Daripada jumlah itu, 47 masih ditahan di Gaza, termasuk 25 yang disahkan tentera Israel sudah meninggal dunia.

Sementara itu, ribuan rakyat Israel berhimpun di Tel Aviv semalam, mendesak kerajaan menamatkan perang dan mencapai perjanjian bagi membawa pulang baki tebusan, lapor wartawan AFP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×