NATO lancar operasi Eastern Sentry pantau pencerobohan dron Russia

NATO lancar operasi Eastern Sentry pantau pencerobohan dron Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengumumkan pelancaran inisiatif baharu bagi memperkukuh pertahanan di sayap timurnya selepas kejadian pencerobohan dron Russia ke ruang udara Poland minggu ini.

Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte berkata, operasi dinamakan Eastern Sentry itu akan bermula dalam tempoh beberapa hari lagi melibatkan aset ketenteraan daripada Denmark, Perancis, Britain, Jerman dan beberapa negara anggota lain.

“Eastern Sentry akan menambah kekuatan dan kelenturan pertahanan kita, serta memberi isyarat jelas NATO sebagai pakatan pertahanan sentiasa bersedia melindungi wilayahnya,” kata beliau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rutte menegaskan insiden dron Russia pada Rabu lalu adalah tindakan berbahaya dan tidak boleh diterima.

Katanya, ia bukan kejadian terpencil kerana pencerobohan sedemikian semakin kerap berlaku di kawasan timur.

Menurut Panglima Tertinggi Bersekutu Eropah, Jeneral Amerika Syarikat (AS), Alexus Grynkewich, operasi berkenaan akan dijalankan secara anjal dan pantas dengan menggabungkan pertahanan udara serta darat, selain meningkatkan perkongsian maklumat antara negara anggota.

Antara aset yang digerakkan termasuk dua jet pejuang F-16 dan sebuah frigat anti-udara dari Denmark, tiga jet Rafale dari Perancis serta empat jet Eurofighter dari Jerman.

“Walaupun tumpuan semasa adalah di Poland, isu ini melangkaui sempadan sesebuah negara. Apa yang menjejaskan seorang anggota, adalah ancaman kepada semua anggota,” jelas Grynkewich.

Tambahnya lagi, operasi tersebut akan meliputi keseluruhan kawasan timur NATO, dari utara Eropah hingga ke Laut Hitam dan Mediterranean, serta sentiasa disesuaikan mengikut ancaman semasa.

Romania menjadi anggota terbaru NATO yang melaporkan pencerobohan dron ke ruang udaranya sejak semalam.

Laporan itu diterima ketika Poland turut mengerahkan pesawat tenteranya susulan serangan dron Russia berhampiran sempadan Ukraine.

Kementerian Pertahanan Romania dalam satu kenyataan berkata, ruang udara negaranya dicerobohi oleh sebuah dron ketika serangan Russia menyasarkan infrastruktur di Ukraine yang berjiran.

Dua pesawat pejuang F-16 dikerahkan semalam bagi memantau perkembangan itu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×