PETALING JAYA: Persoalan pembangunan bola sepak negara kembali menjadi perdebatan selepas kegagalan skuad bawah 23 (B-23) negara ke saingan Piala Asia B-23 2026.
Kegagalan itu secara tidak langsung dikaitkan dengan Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang sepatutnya mampu melahirkan pemain berkualiti selepas sedekad beroperasi, selain telah berbelanja jutaan ringgit
Pemerhati bola sepak, Azlan Johar berpandangan isu pembangunan dan akar umbi sudah beratus kali menjadi topik perdebatan serta kritikan namun perkara itu seolah-olah dipandang sepi oleh pihak yang bertanggungjawab.
Jelasnya, selain memberi fokus kepada pemain tempatan berkualiti, peranan jurulatih yang berilmu dan berpengalaman juga menjadi tapak penting dalam mencapai objektif berkenaan.
Menurutnya, masalah pembangunan bola sepak Malaysia tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja dan berkenaan siapa yang mengurus AMD dan NFDP.
“Ini soal sistem. Bukan hanya tentang siapa urus AMD atau NFDP. Kita perlukan falsafah permainan yang jelas, jurulatih yang benar-benar bertauliah dan berpengalaman untuk cepat hasil keputusan yang bagus.
“Perlu ada liga remaja yang kompetitif, dengan kesinambungan hingga ke peringkat senior. Tanpa semua ini, kita hanya ulang kesilapan sama.
“Jika ada pemain berkualiti namun jurulatih tidak mencapai standard diperlukan maka bagaimana pemain itu mampu berkembang dan mencapai prestasi di tahap terbaik,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim menyifatkan kegagalan skuad bawah 23 (B-23) negara ke Piala Asia B-23 2026 sebagai ‘satu kegagalan mutlak’ program pembangunan bola sepak Malaysia.
Beliau menegaskan, kegagalan demi kegagalan di peringkat B-16, B-19 dan terbaharu B-23 jelas menunjukkan sistem pembangunan bola sepak negara tidak menghasilkan barisan pelapis berkualiti.
Bekas pemain kebangsaan itu, turut mengingatkan mereka yang berada dalam pengurusan dan kejurulatihan bola sepak untuk menjadikan pekerjaan ini bukan sahaja sebagai sumber pendapatan tetapi meletakkan matlamat utama iaitu bertanggungjawab menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Pengurusan dan kejurulatihan perlu jadikan bola sepak bukan sekadar untuk cari makan, itu salah. Mereka sepatutnya jadikan bola sepak satu tempat menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Tambahnya, sudah tiba masa pihak berkaitan melihat pembangunan bola sepak sebagai pelaburan jangka panjang, bukan projek bersifat segera.
“Negara yang berjaya tidak bergantung pada satu, dua akademi sahaja. Mereka bina struktur menyeluruh dari sekolah, kelab, negeri sehingga ke pasukan kebangsaan. Malaysia perlu berani melakukan pembaharuan itu,” ujarnya. – UTUSAN









