Gen Z di Nepal guna ChatGPT pilih PM sementara

Gen Z di Nepal guna ChatGPT pilih PM sementara

PENUNJUK perasaan membakar tayar semasa perhimpunan mengecam tindakan ganas polis terhadap orang ramai di Kathmandu, pada 9 September lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Penunjuk perasaan anak muda (Generasi Z) di Nepal menggunakan ChatGPT untuk membantu mereka menentukan calon perdana menteri sementara negara itu, selepas protes antirasuah menggulingkan kerajaan.

Bekas Ketua Hakim, Sushila Karki, dipilih oleh aktivis belia untuk mengetuai kerajaan sementara, selepas peletakan jawatan KP Sharma Oli semasa kemuncak rusuhan terburuk Nepal dalam beberapa dekad.

Apabila ditanya mengenai calon berpotensi untuk mengetuai kerajaan peralihan sebelum pemilihan Perdana Menteri baharu, ChatGPT menyatakan ia cenderung kepada ketua hakim wanita pertama negara itu.

ChatGPT menjelaskan, Karki, 73, dilihat mendapat kepercayaan daripada pelbagai kumpulan dan boleh membantu menyelia proses reformasi serta memastikan perjalanan menuju pilihan raya yang adil.

Ia turut menamakan Datuk Bandar Dharan, Harka Sampang, sebagai pilihan lain yang sesuai kerana didakwa berpotensi menstabilkan sistem dan bersedia untuk piluhan raya serta memperkasakan golongan belia.

Bagi calon Perdana Menteri jangka panjang, ChatGPT menyarankan Datuk Bandar Kathmandu, Balen Shah, yang menyokong protes sebelum ini.

Soalan itu diajukan kepada ChatGPT di sebuah forum dalam talian Youth Againts Corruption (YAC), dan ramai ahli forum itu menyokong Balen Shah sebagai Perdana Menteri tetap.

Bagaimanapun, sesetengah rakyat Nepal menyelar penggunaan teknologi itu untuk memilih calon.

“Untuk mengubah undang-undang, anda memerlukan penyelidikan, kesahihan dan mandat sebenar. Itu bukan boleh dicapai menggunakan ChatGPT,” kata seorang pengkritik.

Kelmarin, Pejabat Presiden Nepal mengumumkan pelantikan Karki untuk mengetuai pentadbiran peralihan sebagai perdana menteri negara itu.

Negara Himalaya yang mempunyai 30 juta penduduk itu dilanda pergolakan minggu ini selepas pasukan keselamatan cuba mengekang perhimpunan penunjuk perasaan antirasuah.

Sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dalam keganasan terburuk sejak berakhirnya perang saudara dan penghapusan sistem monarki pada 2008.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×