UTAH: Kemarahan terhadap pandangan politik Charlie Kirk dipercayai menjadi punca pembunuhan terbuka pengulas konservatif itu pada Rabu lalu.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang disyaki menembak mati Kirk di hadapan 3,000 pelajar kolej di Utah Valley University.
Suspek, Tyler Robinson, menyerah diri di pejabat sheriff Washington County pada lewat malam Khamis, lebih 30 jam selepas melepaskan tembakan dari atas bumbung bangunan kampus tersebut.
“Selepas menembak Kirk dari atas bumbung pada jarak lebih 130 meter, Robinson berjaya mengelak helikopter, kereta peronda dan pasukan berjalan kaki yang memburunya selama lebih 30 jam,” kata pihak berkuasa.
Pihak berkuasa percaya Robinson bertindak sendirian.
Menurut rekod mahkamah, dia kini ditahan di Penjara Utah County atas tuduhan pembunuhan dan beberapa kesalahan lain.
Siasatan awal mendapati motif utama serangan itu berpunca daripada kebencian Robinson terhadap pandangan politik Kirk, pengasas organisasi konservatif Turning Point USA.
Seorang ahli keluarga memberitahu penyiasat Robinson semakin berminat dengan politik dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan pernah menyuarakan rasa tidak suka terhadap Kirk serta ideologinya.
Pihak berkuasa turut menemukan dua kelongsong peluru berhampiran lokasi kejadian yang tertera mesej sindiran kepada Kirk dan frasa daripada budaya permainan video.
Satu kelongsong tertulis ‘Hey, fascist! Catch!’ dan satu lagi memaparkan ‘Bella ciao’, dipercayai merujuk kepada lagu anti fasis Itali era Perang Dunia II.
Robinson pernah menuntut selama satu semester di Universiti Negeri Utah pada 2021 dalam jurusan pra-kejuruteraan, namun tidak meneruskan pengajian.
Rekod pengundi negeri menunjukkan beliau tidak mempunyai parti dan dikategorikan sebagai pengundi ‘tidak aktif’, menandakan dia tidak mengundi pada pilihan raya presiden lalu.
Rakannya menyifatkan Robinson seorang pendiam, kurang bergaul dan peminat tegar permainan video tembak-menembak seperti Call of Duty.- NYTimes











