Tarikan ‘bahaya’ cafe landasan kereta api Hanoi

Tarikan ‘bahaya’ cafe landasan kereta api Hanoi

SEBUAH kereta api melalui landasan di antara teres kafe di pusat bandar Hanoi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANCONG di Hanoi, Vietnam dilihat tergesa-gesa menarik tangan dan kaki ketika sebuah kereta api melintas hanya beberapa inci dari tempat duduk mereka.

Mereka pantas berundur ke kafe-kafe kecil di tepi landasan yang kini menjadi tumpuan pelancong dan menjana pendapatan lumayan di kawasan yang dahulunya dianggap setinggan oleh pihak berkuasa.

Pihak berkuasa sudah beberapa kali berusaha menutup kawasan usang di ibu kota Vietnam itu atas faktor keselamatan, namun usaha tersebut dilihat sukar dilakukan kerana populariti media sosial yang semakin menarik pengunjung ke sini.

“Saya rasa adrenalin merembes laju kerana kereta api itu terlalu dekat,” kata Helena Bizonova dari Slovakia kepada AFP, yang berdiri hanya beberapa inci dari lokomotif era kolonial yang bergerak kira-kira 10 kilometer sejam itu.

Landasan yang dihiasi dengan tanglung serta deretan kafe elegan di kiri dan kanannya itu terkenal di media sosial dan menurut Bizonova ia adalah pengalaman yang sukar diulang dalam hidupnya.

Landasan tersebut dibina oleh bekas penjajah Perancis pada awal 1900-an bagi mengangkut barangan dan penumpang di seluruh negara ketika itu, yang merupakan sebahagian daripada Indochina Perancis bersama Laos dan Kemboja.

Sebahagian daripada landasan itu rosak teruk akibat pengeboman Amerika Syarikat (AS) di wilayah utara Vietnam yang dikuasai komunis ketika Perang Vietnam, yang berakhir kira-kira setengah abad lalu.

Kini, Vietnam merancang membina landasan kereta api laju bernilai AS$67 bilion (RM282.47 billion) bagi menghubungkan utara dan selatan negara itu sebagai sebahagian usaha meningkatkan infrastruktur yang dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Namun, syarikat milik kerajaan Vietnam Railways Corporation masih menguruskan rangkaian landasan tolok meter lama dan kurang maju yang masih banyak digunakan oleh kumpulan pengembara bajet.

Fenomena train streets seperti ini turut terdapat di Thailand dan Taiwan yang menarik ribuan pelancong untuk merasai debaran berundur ke tepi apabila lokomotif melalui kawasan sempit yang sesak itu.

Dahulu, kawasan ini terkenal sebagai kawasan ‘keras’ yang sering dikunjungi penagih dadah dan penduduk setinggan, namun kini ia menjadi peluang perniagaan kepada pengusaha kafe yang kreatif.

Seorang pemilik kafe yang enggan dikenali berkata, pelancongan berjaya mengubah kawasan itu menjadi lebih bersih, cantik dan selamat, sambil mengkritik usaha untuk menutupnya.

“Kita tidak sepatutnya cuba menutup jalan-jalan seperti ini, sebaliknya memanfaatkannya sepenuhnya dan menjadikannya ciri unik untuk mempromosikan pelancongan,” katanya dari kafenya yang dipenuhi bendera Vietnam.

Ketika sebuah kereta api merah mula kelihatan, semua orang di lorong sempit itu segera mengosongkan landasan, berasak masuk ke kafe-kafe berhampiran sambil mengeluarkan telefon pintar masing-masing untuk merakam detik tersebut.

Kakitangan kafe akan memberi amaran kepada pelawat untuk berundur sebelum kereta api mula menghampiri kawasan itu, sesuatu yang meyakinkan pelancong seperti Maria Morikova dari Slovakia.

“Ia tidak berbahaya. Mereka telah membuat persediaan. Mereka juga memberi arahan dengan tegas tentang di mana anda perlu berdiri,” katanya.

Pengunjung tempatan, Nguyen Le Trang dari Delta Mekong di selatan Vietnam menyifatkan kawasan itu sebagai satu-satunya tarikan pelancongan unik di Hanoi, menegaskan pihak berkuasa tidak patut menutupnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×