LONDON: Penjaga gol baharu Manchester City, Gianluigi Donnarumma bersedia membuktikan kemampuannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG).
Donnarumma menyertai skuad City buat kali pertama semalam selepas perpindahannya bernilai 30 juta pound (RM171 juta) ke kelab EPL itu pada hari terakhir jendela perpindahan.
Pemain berusia 26 tahun itu, telah memenangi Liga Juara-Juara dan kejuaraan liga Perancis keempat musim lalu, namun pengurus PSG, Luis Enrique secara mengejut berkata Donnarumma bukan lagi pilihan utama di Parc des Princes.
Situasi itu membuka jalan kepada perpindahannya ke City, dengan kemungkinan penampilan sulung penjaga gol Itali itu dalam pertembungan musuh tetangga Manchester di Stadium Etihad, Ahad ini.
“Ini adalah cerita baharu dalam hidup dan karier saya. Beraksi dalam Liga Perdana bersama Manchester City adalah penghormatan besar buat saya dan saya sedia menyahut cabaran ini.
“Saya sentiasa mengimpikan untuk bermain dalam Liga Perdana kerana ia adalah liga terbaik di dunia. Bagi seorang pemain, kejayaan dalam Liga Perdana adalah pencapaian tertinggi dalam karier, jadi saya benar-benar gembira berada di sini.
“Saya sanggup turun ke padang untuk kelab ini, yang begitu berusaha untuk mendapatkan saya dan saya harap dapat membalas kepercayaan itu,” kata Donnarumma.
Selepas tiba di Manchester sejurus tamat tugasan antarabangsa bersama Itali, Donnarumma kini berusaha menyesuaikan diri dengan pengurus Pep Guardiola, rakan sepasukan baharu dan kemudahan kelab.
“Ia sebuah kelab yang sentiasa memikat perhatian saya. Saya sentiasa mengikuti perkembangan City dengan penuh minat. Segala yang saya lihat di sini seperti pusat latihan dan stadium memang hebat.
“Anda tidak akan tahu nilai sebuah kelab hingga anda benar-benar melihatnya dengan mata sendiri. Saya bangga berada di sini dan gembira dengan pilihan saya. Saya harap dapat mencipta sejarah di sini dan memenangi sebanyak mungkin trofi, itulah matlamat saya,” jelasnya. – AFP/UTUSAN











