Albania lantik menteri Kabinet AI pertama dunia perangi rasuah

Albania lantik menteri Kabinet AI pertama dunia perangi rasuah

MENTERI Kabinet maya dikenali sebagai Diella diberi mandat sebagai pengendali perolehan awam Albania.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIRANA: Albania melakar sejarah apabila melantik seorang ‘menteri kabinet maya’ pertama yang dicipta melalui kecerdasan buatan (AI) bagi mengendalikan urusan perolehan awam dalam usaha membanteras rasuah, umum Perdana Menteri, Edi Rama.

Tokoh maya berkenaan dikenali sebagai Diella yang bermaksud matahari dalam bahasa Albania yang sejak Januari lalu sudah digunakan sebagai pembantu digital untuk membantu rakyat mengakses kira-kira 95 peratus perkhidmatan kerajaan melalui portal e-Albania.

“Diella, anggota Kabinet pertama yang tidak wujud secara fizikal tetapi dicipta melalui AI, akan memastikan Albania menjadi negara di mana tender awam bebas 100 peratus daripada rasuah,” kata Rama ketika mengumumkan barisan Kabinet baharu pada persidangan Parti Sosialis pemerintah di Tirana, Khamis lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Diella yang digambarkan memakai pakaian tradisional Albania pada portal tersebut, bakal diberi mandat sebagai pengendali perolehan awam. 

Menurut Rama, keputusan penganugerahan tender secara berperingkat akan dialihkan daripada kementerian kepada AI supaya segala perbelanjaan kerajaan dalam proses tersebut lebih telus dan jelas.

“Diella akan meneliti setiap tender kerajaan yang melibatkan kontraktor swasta dan menilai merit setiap syarikat secara objektif,” jelas Rama yang baru dipilih semula pada Mei lalu, sambil menegaskan teknologi AI mampu menghapuskan budaya rasuah termasuk amalan suapan, ugutan dan konflik kepentingan.

Tender awam di Albania sejak sekian lama menjadi sumber utama skandal rasuah, malah negara itu turut digambarkan pakar sebagai pusat sindiket antarabangsa untuk mencuci wang hasil kegiatan penyeludupan dadah dan senjata, dengan rasuah menular hingga ke peringkat tertinggi pentadbiran.

Media tempatan menyifatkan langkah itu sebagai transformasi besar dalam cara kerajaan Albania membayangkan serta melaksanakan kuasa pentadbiran, menjadikan teknologi bukan sekadar alat, tetapi turut serta sebagai pembantu dalam tadbir urus.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN