Merdekakan negara dari gejala rasuah

Merdekakan negara dari gejala rasuah

KEMERDEKAAN hanya akan sempurna apabila rakyat dibebaskan daripada belenggu rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun, tanggal 31 Ogos menjadi saksi laungan keramat “Merdeka!” yang bukan sahaja menggema di udara tetapi turut terukir dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Jeritan itu mengingatkan kita kepada pengorbanan wira-wira terdahulu yang berjuang tanpa mengenal penat dan lelah demi melihat tanah air bebas daripada belenggu penjajahan.

Namun, dalam keghairahan mengibarkan Jalur Gemilang, persoalan penting harus kita renungkan, apakah kita benar-benar menghayati erti kemerdekaan? Adakah kita benar-benar hidup bebas atau masih dijajah oleh bentuk penjajahan baharu yang lebih halus tetapi lebih berbahaya. Contohnya seperti penjajahan rasuah, salah guna kuasa.

Dahulu, perjuangan menentang penjajah dilakukan dengan darah, keringat dan air mata. Hari ini, perjuangan kita menuntut keberanian yang tidak kurang besarnya. Rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa adalah ‘penjajah moden’ yang merampas hak rakyat, melemahkan ekonomi, merosakkan sistem pentadbiran dan menodai masa hadapan generasi akan datang.

Apalah makna merdeka jika hasil negara bocor ke poket perasuah? Apalah ertinya kemerdekaan jika rezeki dan peluang rakyat dinafikan hanya kerana amalan kronisme dan pilih kasih? Inilah cabaran sebenar yang sedang kita hadapi.

Kemerdekaan hanya akan sempurna apabila rakyat dibebaskan daripada belenggu rasuah. Integriti mesti menjadi tiang seri negara. Tanpanya, kita mungkin merdeka pada nama tetapi masih terjajah pada hakikatnya.

Sejak penubuhannya, MCW berdiri sebagai suara lantang rakyat dalam menentang budaya korupsi. Namun perjuangan ini bukan mudah. Setiap kali MCW bersuara, kita berdepan pelbagai cabaran, tekanan dan kadangkala sindiran.

Lebih menyedihkan, sokongan daripada kalangan ahli sendiri masih longgar. Ramai hadir dalam barisan untuk mengkritik, ramai yang suka bergosip tentang kelemahan organisasi tetapi terlalu sedikit yang benar-benar mahu terlibat, memberi galakan dan tampil membantu.

Keadaan ini diibaratkan melalui sebuah lukisan penuh makna, The Lines of Life, barisan panjang manusia untuk mengkritik dan bergosip tetapi barisan untuk menyokong dan membantu hanyalah segelintir. Demikianlah realiti perjuangan integriti hari ini, bukan sahaja dari luar, malah juga dari dalam gerakan itu sendiri.

MCW bukan milik segelintir individu tetapi wadah rakyat. Kekuatan sebenar terletak pada komitmen dan pengorbanan ahlinya. Namun, terlalu ramai lebih selesa menjadi penonton daripada pemain. Lebih cepat mengkritik daripada membantu. Lebih banyak membicarakan masalah daripada menawarkan penyelesaian.

Jika ahli MCW sendiri tidak mahu berkorban, bagaimana kita mahu mengajak masyarakat luas untuk turut serta? Jika mereka tidak menunjukkan teladan dalam perjuangan ini, bagaimana rakyat boleh diyakinkan bahawa MCW benar-benar hidup dan relevan?

MCW menyeru semua ahlinya melihat perjuangan ini sebagai tanggungjawab bersama bukan tugas segelintir pemimpin. Tidak semua mampu berucap di pentas. Tidak semua boleh menulis laporan atau menganalisis polisi. Namun, setiap ahli boleh melakukan sesuatu seperti menyebarkan kesedaran, menolak rasuah dalam kehidupan seharian, memberi sokongan moral atau sekurang-kurangnya menghulurkan sumbangan kewangan bagi menggerakkan program MCW.

Usaha kecil tidak pernah sia-sia. Ingatlah, setiap titisan air akhirnya membentuk lautan dan setiap langkah kecil akhirnya membina perjalanan panjang.

Hari ini, kita berdiri dalam suasana merdeka yang diwariskan pejuang terdahulu. Jangan khianati pengorbanan mereka dengan membiarkan negara diruntuhkan oleh rasuah. Jangan biarkan Jalur Gemilang menjadi sekadar kain tanpa makna.

Kepada semua ahli MCW, jadilah nadi perjuangan. Jangan biarkan segelintir sahaja memikul beban ini. Bangkitlah, hulurkan tangan dan isi barisan yang masih kosong itu barisan untuk menyokong, terlibat dan membantu.

Marilah kita berjanji bahawa perjuangan menentang rasuah tidak akan ditinggalkan separuh jalan. Walau sedikit, walau letih, perjuangan mesti diteruskan. Kerana akhirnya, integriti tetap akan menang. – UTUSAN

JAIS ABDUL KARIM
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×