SEREMBAN: Bapa kepada dua kanak-kanak yang meninggal dunia akibat lemas selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke dalam sungai di Tanjung Agas, Port Dickson, minggu lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menyebabkan kematian kedua-dua anaknya itu.
Tertuduh, Abdul Rahman Mahmud, 46, yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.
Dia didakwa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin boleh membawa kematian dua kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 11.45 pagi di muara Sungai Linggi, Tanjung Agas di Port Dickson pada 4 September lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan juga boleh dikenakan denda.
Tertuduh dalam pada itu merayu supaya dibenarkan jaminan untuk melawat kubur anak-anaknya.
“Saya merayu sejak anak meninggal saya tidak dapat melawat kubur mereka. Saya cuma berharap diberi jaminan, itu sudah memadai (untuk melawat kubur),” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwaan Raya M. Pusppa tidak menawarkan jaminan kerana ada kemungkinan tertuduh menghilangkan diri dan ini akan menyukarkan kes pendakwaan.
Puspa turut memohon tarikh sebutan baharu untuk laporan forensik, kimia dan Puspakom.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh tidak dibenarkan jaminan dan kes akan disebut semula pada 10 November depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sebelum ini, media melaporkan dua beradik berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta yang dinaiki bersama bapa dan seorang wanita terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Difahamkan ketika kejadian, kereta tersebut diparkir di tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan sementara bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, bapa mangsa dan wanita terbabit ditahan selepas didapati memberi keterangan yang meragukan berhubung kejadian terbabit.
Semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes yang masih dikehendaki manakala wanita ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Semakan ke atas kereta yang digunakan juga didapati merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang di Johor pada tahun 2022.-UTUSAN.










