PETALING JAYA: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang memulakan pelayaran bersejarah menuju Gaza dijangka tiba di perairan wilayah bergolak itu dalam tempoh lapan hingga 10 hari.
Sukarelawan Malaysia, ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad berkata, sekitar pukul 10 pagi waktu Itali (4 petang, semalam waktu Malaysia), kapal layar Lady Bark berangkat dari Pelabuhan Agusta, Itali.
Katanya, Lady Bark merupakan salah satu daripada 17 kapal terawal yang belayar membawa semangat solidariti antarabangsa bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.
“Di atas Lady Bark, tiga sukarelawan Sumud Nusantara bergabung tenaga bersama lima pelayar Itali termasuk kapten dan kru serta seorang doktor dari Sweden.
“Kami akan bergabung dengan lebih 40 kapal layar lain di Laut Mediterranean yang datang dari Sepanyol dan Tunisia.
“Insya-Allah, dengan jangkaan lapan hingga 10 hari pelayaran, kami akan tiba di perairan Gaza. Ini satu usaha penuh kepasrahan dan kami berserah sepenuhnya berserah kepada Allah. Doakan kami selamat sampai ke Gaza,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Sementara itu, kapal Fair Lady yang membawa misi kemanusiaan GSF dari Itali berlayar ke Gaza hari semalam selepas tiga kali ditangguhkan.
Pengarah Media Muslim Care Malaysia (MCM), Tuan Asri Tuan Hussein berkata, kapal itu berkemungkinan meninggalkan pelabuhan Catania sebaik sahaja senarai akhir penumpang dimuktamadkan penganjur.
Katanya, seramai 14 sukarelawan Malaysia bersama lebih 100 peserta antarabangsa kini menunggu arahan untuk memulakan pelayaran ke Gaza.-UTUSAN.










