Pindaan kewarganegaraan hanya lega untuk sebahagian sahaja

Pindaan kewarganegaraan hanya lega untuk sebahagian sahaja

SUDAH tiba Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunaikan jaji kemanusiaan ekoran masih ramai anak pedalaman Sabah terperangkap dalam status tanpa warganegara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 17 Oktober 2024, undang-undang berkenaan permohonan kewarganegaraan Malaysia diluluskan Parlimen untuk dipinda. 

Jika dulu status kewarganegaraan seorang anak hanya boleh ditentukan oleh status kerakyatan ayahnya. Kini Perlembagaan Persekutuan membenarkan kewarganegaraan seorang anak ditentukan melalui status kewarganegaraan sama ada ibu atau ayahnya.

Pindaan undang-undang ini dilihat dapat memberikan kelegaan kepada ibu-ibu yang berjuang sekian lama untuk diberikan kesamarataan kewarganegaraan buat manfaat anak-anak mereka, khususnya dalam keluarga transnasional di mana anak-anak mereka lahir di luar negara. Sekalipun tidak bersifat retrospektif, ia merupakan pengiktirafan yang didamba sekian lama.

Namun begitu, pindaan ini tidak akan menjengah kelompok besar masyarakat di pedalaman Sabah, yang masih terbelenggu dengan status tidak bernegara atau ‘statelessness’, sekalipun mereka ini dilahirkan, dibesarkan dan mengenali Malaysia sebagai satu-satunya negara tanah tumpah darah mereka sedari kecil.

Lebih menyedihkan, kebanyakan mereka yang tanpa status warganegara ini adalah generasi-generasi lanjut. Dalam erti kata lain-nya, leluhur mereka adalah warganegara sah.

Jadi, di mana permasalahannya sehinggakan rakyat Malaysia sendiri dinafikan kerakyatan setelah beberapa generasi memanggil Malaysia sebagai negara mereka?

Melalui Program Tagupi Membaca 6.0 yang berlangsung pada 2 hingga 5 September lalu melibatkan sekumpulan aktivis daripada Semenanjung Malaysia menyantuni masyarakat setempat di Lahad Datu, Sabah bagi menjalankan program kemasyarakatan.

Delegasi Tagupi Membaca 6.0 kali ini termasuk dua orang peguam bertujuan khusus bagi mendapatkan maklumat berkenaan status kewarganegaraan seterusnya meneliti sebarang isu berkenaan permohonan kewarganegaraan ini.

Melalui temubual dengan golongan sasar berkenaan, beberapa isu telah dikenalpasti, yang menimbulkan persoalan berkenaan cara kerja permohonan kewarganeraan di Sabah. 

 

BUKTI KESULITAN

Dalam temubual kami, terdapat beberapa tema utama yang menimbulkan kesukaran dalam proses pendaftaran sivil masyarakat di pedalaman Sabah.

Saya ingin berkongsi beberapa dapatan temubual berkenaan.

Temubual pertama  bersama Pak Cik R berusia lewat 50-an dilahirkan dan dibesarkan di Lahad Datu.  Pada waktu muda, Pakcik R pernah berkhidmat sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Ada dalam kalangan adik-beradik Pak Cik R berstatus warganegara Malaysia, tetapi Pak Cik R tidak. Disebabkan Pak Cik R bukan warganegara, maka anak-anaknya secara automatik  berstatus ‘tanpa dokumen’. 

Permohonan kewarganegaraan anak-anaknya dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah tetapi ditolak tanpa sebarang alasan. 

Kesukaran berganda timbul apabila ada anak-anak Pak Cik R sendiri yang sudah berumah tangga dan menimang cahaya mata. Keluarga Pak Cik R menjadi bukti kesulitan yang dialami apabila isu kerakyatan diwariskan kepada anak cucu.

Temubual kedua pula bersama Saudara L. Dia adalah menantu kepada Pak Cik R. Lelaki ini dilahir dan dibesarkan di Lahad Datu. Walau bagaimanapun, ibu dan bapanya tidak berstatus warganegara, maka menjadikan Saudara L juga tidak berstatus warganegara.

Apabila diselidiki, datuk kepada Saudara L di kedua-dua belah ibu dan bapanya mempunyai dokumen-dokumen bagi mengesahkan kewarganegaraan mereka. 

Apabila ditemubual lanjut, ibu dan bapa Saudara L juga menyatakan adik-beradik mereka ada yang mempunyai dokumen pengenalan diri sah-laku daripada Kerajaan Malaysia.

Berlatarbelakangkan fakta ini sekalipun, permohonan ibu dan bapa Saudara L tidak berjaya. Justeru, Saudara L dan adik-beradik beliau tidak memiliki status warganegara.

Sementara dalam temubual ketiga,  Saudari M berusia 20 tahun dan mempunyai sijil kelahiran, dengan statusnya direkodkan sebagai ‘bukan warganegara’. 

Setelah ditemubual lanjut, sijil kelahiran berkenaan bukanlah sijil kelahiran asal. Sijil kelahiran asal sebelum ini menyatakan dia berstatus ‘warganegara’.

Daripada penceritaannya, apa yang terjadi adalah sijil kelahiran asal tersebut dibatalkan oleh JPN dan digantikan dengan sijil kelahiran baharu untuk ‘bukan warganegara’. 

JPN menyatakan nombor sijil kelahiran asal  didaftarkan ke atas nama individu lain. 

Dikhuatiri dalam keadaan ini sijil kelahiran asal Saudari M telah digunapakai oleh individu tidak ertanggungjawab kemudiannya didaftarkan di JPN.

Temubual-temubual yang dikongsi ini hanya sebahagian daripada catatan yang diperoleh. Banyak lagi kes-kes lain, yang melibatkan banyak keluarga dan keseluruhan lapisan generasi berbeza.

Jika tidak ditangani dengan pendekatan lebih adil dan ‘organik’ serta praktikal, akan wujud lebih ramai rangkaian generasi muda yang tidak sah taraf.

Kesannya, generasi-generasi kemudian ini akan terperangkap dalam tempurung kemiskinan dan bersamanya gejala sosial yang lumrah.

Malangnya dalam menangani permasalahan ini, proses pendaftaran sivil di Sabah masih bergelumang dengan prejudis dan mainan politik setempat. Ada aduan yang kami terima mengatakan pegawai di JPN bersikap tidak mesra. 

Malah difahamkan ada dalam kalangan pegawai yang enggan meladeni komuniti terpinggir yang hadir ke pejabat satelit JPN di bawah program MEKAR. Aduan sebegini tidak sepatutnya berterusan pada tahun 2025.

Masyarakat di pedalaman Sabah memerlukan bantuan untuk menyelaraskan semula pendaftaran sivil mereka agar permasalahan ini tidak terus diwariskan kepada generasi akan datang. 

Menteri Dalam Negeri sebelum ini pernah menyatakan komitmen untuk meletakkan kemanusiaan melangkaui tetek bengek birokrasi. Inilah masa untuk beliau mengotakan janjinya.-UTUSAN

 

PENULIS ialah aktivis #TagupiMembaca, program amal yang menyalurkan bahan pembelajaran untuk komuniti tidak bernegara (stateless) di Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×