PORT DICKSON: Tempoh reman seorang bapa kepada dua beradik yang meninggal dunia selepas lemas dalam kenderaan yang menggelongsor ke dalam sungai di Tanjung Agas di sini minggu lalu disambung selama lima hari.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, permohonan lanjutan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah itu diperoleh di Mahkamah Majistret Port Dickson, pagi tadi.
“Suspek lelaki berusia 46 tahun disambung reman lima hari sehingga 16 September ini, manakala suspek wanita berusia 41 tahun itu yang merupakan kekasih suspek lelaki disambung reman selama empat hari hingga 15 September ini.
“Ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan dua beradik meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki menggelongsor ke dalam sungai di Tanjung Agas, Linggi, Port Dickson, 4 September lalu/
Susulan nahas itu, dua individu ditahan reman selepas memberikan keterangan meragukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
Semakan rekod lampau terhadap suspek lelaki didapati terdapat sebanyak 16 kes di mana empat kes masih dikehendaki (wanted) manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Dalam pada itu, semakan ke atas kereta terbabit didapati merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang.
Setakat ini seramai 15 individu termasuk termasuk ibu kepada dua beradik berkenaan telah diambil keterangan.-UTUSAN.










