GAZA: Siasatan terbaharu BBC mendedahkan kumpulan geng biker ekstremis kanan dari Amerika Syarikat (AS), yang terkenal dengan ideologi anti-Islam, kini beroperasi sebagai pasukan keselamatan bersenjata di pusat pengagihan bantuan di Gaza, lokasi yang telah meragut lebih 1,100 nyawa penduduk Palestin.
Laporan itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai watak ketenteraan serta kecenderungan ekstrem kumpulan yang mengendalikan operasi di bawah Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah inisiatif kontroversi yang mendapat sokongan Israel dan AS.
Menurut pendedahan tersebut, syarikat keselamatan swasta AS, UG Solutions (UGS), yang dilantik mengawal tapak GHF, telah menempatkan sekurang-kurangnya 10 anggota kanan geng Infidels Motorcycle Club (MC) di Gaza, termasuk tujuh daripadanya memegang jawatan penting.
Infidels MC yang ditubuhkan oleh veteran Perang Iraq pada 2006 dikenali dengan ideologi Islamofobia melampau, menggelar diri mereka sebagai ‘Tentera Salib Moden’ serta menggunakan lambang Salib Perang Salib sebagai identiti.
Mereka juga pernah menganjurkan jamuan daging babi secara terbuka ketika Ramadan sebagai bentuk penghinaan, selain menjual barangan dengan slogan kebencian seperti “Embrace Violence” dan “Make Gaza Great Again”.
Malah, gambar dari Gaza menunjukkan anggota geng itu berposing di tapak GHF dengan sepanduk berunsur penghinaan, termasuk merujuk tahun 1095, tarikh bermulanya Perang Salib Pertama.
Ketua operasi keselamatan tersebut ialah Johnny “Taz” Mulford, pemimpin nasional Infidels MC yang juga bekas sarjan tentera AS dan beliau mempunyai rekod jenayah melibatkan rasuah, kecurian serta penipuan terhadap pihak berkuasa tentera.
Mulford dilaporkan merekrut sendiri rakan gengnya untuk jawatan bergaji lumayan sehingga AS$1,580 (RM6,670) sehari bagi mengetuai pasukan di tapak agihan bantuan yang digelar sebagai ‘zon selamat’.
Pendedahan itu mengundang kecaman hebat daripada aktivis hak asasi di mana Timbalan Pengarah Council on American-Islamic Relations (CAIR), Edward Ahmed Mitchell, menyifatkan tindakan melantik geng tersebut umpama melantik KKK menguruskan bantuan di Sudan, yang menurutnya pasti membawa kepada tragedi dan keganasan.
Sejak operasi GHF bermula akhir Mei lalu, lebih 1,100 penduduk Palestin terbunuh berhampiran pusat agihan bantuan, meskipun banyak kematian dikaitkan dengan tentera Israel, UGS mengakui kontraktornya turut melepaskan tembakan amaran bagi menyuraikan orang ramai.
Namun, UGS menegaskan pihaknya tidak menapis latar belakang ideologi kakitangan, sebaliknya hanya menjalankan pemeriksaan keselamatan biasa, manakala GHF pula mendakwa pasukan mereka berbilang bangsa dan mengamalkan sifar toleransi terhadap kebencian.
GHF sebelum ini turut menerima kritikan daripada kumpulan Palestin, pakar undang-undang antarabangsa dan badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana beroperasi tanpa ketelusan dan pengawasan.
Penganalisis menegaskan, GHF sebenarnya berfungsi sebagai ‘topeng’ bagi Israel mengawal laluan bantuan kemanusiaan sambil mengelak daripada penelitian masyarakat antarabangsa. -AGENSI











