TAHUN ini, Malaysia menyambut 68 tahun kemerdekaan. Seperti biasa, kita akan melihat perarakan, mendengar ucapan dan media sosial dipenuhi tanda pagar tentang perpaduan dan kemajuan. Namun di sebalik semua itu, pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, apa sebenarnya makna merdeka?
Beberapa bulan lalu, ketika berkunjung ke selatan India, saya melalui pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam. Keluarga saya membawa makanan untuk dikongsi bersama pelajar sebuah sekolah bantuan kerajaan di sebuah kampung pedalaman. Semakin jauh kami masuk, jalan bertar berubah menjadi laluan tanah merah.
Di sebuah kuil, kelihatan sekumpulan kanak-kanak berlari tanpa alas kaki. Bukan untuk bermain tetapi kerana terlihat makanan yang kami bawa. Ada yang memakai seragam sekolah yang koyak, namun senyuman mereka begitu tulus.
Apabila saya bertanya kepada sami kuil sama ada ada pinggan untuk menghidang makanan, beliau menjawab dengan tenang: “Di luar sana ada pokok. Petiklah beberapa helai daun.”
Maka kami pun menghidangkan makanan di atas daun tersebut.
Keluarga-keluarga ini hidup daripada hasil tanaman sendiri seperti padi dan kekacang, tanpa bekalan air bersih dan tandas sempurna. Mereka mandi di paip awam atau berkumpul di kolam kerana bimbang air telaga kering.
Mereka hidup dengan serba kekurangan. Namun tetap tersenyum dan mengucap terima kasih. Kebahagiaan mereka membuat saya mempersoalkan kembali apa yang saya fahami tentang kesusahan dan rasa syukur.
Dalam kerja advokasi iklim yang dijalankan, saya sering mendengar kata-kata seperti: “Orang macam kamu bercakap tentang iklim sebab kamu orang senang. Orang miskin tiada masa untuk itu, mereka sibuk mencari rezeki.”
Kini saya faham. Saya sudah melihat sendiri.
Bukan kerana mereka tidak peduli. Mereka peduli tetapi apabila sama ada dapat menjamah makanan atau tidak esok hari pun belum pasti, isu seperti kenaikan paras laut terasa terlalu jauh dari kehidupan harian.
Apabila banjir memusnahkan tanaman, bukan orang kaya yang lapar dahulu. Apabila kemarau mengeringkan telaga, bukan golongan elit bandar yang beratur menadah air. Perubahan iklim menimpa golongan miskin terlebih dahulu, paling teruk dan paling awal.Dan ini bukan sekadar kisah di India.
BERTINDAK SEKARANG
Di Malaysia sendiri, saya pernah bertemu murid sekolah yang hanya makan sekali sehari. Pelajar universiti yang berlapar bukan untuk diet tetapi kerana elaun perlu dihantar kepada keluarga di kampung.
Ada rakan rapat di universiti yang terpaksa berjimat sehingga tidak mampu membeli makanan, kerana keluarga mereka bergelut membayar bil dan beli barang dapur. Ini 2025 dan semua ini masih berlaku.
Kita harus sedar kemerdekaan bukan sekadar kebebasan politik.
Kita belum benar-benar merdeka jika masih ada rakyat yang terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan kesannya menjadi lebih parah akibat bencana iklim seperti banjir.
Perjuangan menuntut tindakan iklim adalah usaha menuntut keadilan sosial. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Jika mahu menjamin masa hadapan, kita mesti melindungi alam sekitar dan rakyat, terutama mereka yang paling terdedah.
Komuniti yang paling sedikit menyumbang kepada perubahan iklim sering kali menjadi yang pertama merasai kesannya melalui banjir, kekurangan sumber air, kemerosotan hasil tanaman, pengurangan stok ikan di laut akibat pencemaran dan pembangunan tidak terkawal.
Setiap kali menangguhkan tindakan iklim, bermakna kita memandang ringan isu kemiskinan.
Merdeka adalah janji bahawa tiada rakyat akan tertinggal. Janji itu akan menjadi ibarat ‘senduk besar tak mengenyang’ setiap kali ada kanak-kanak ke sekolah dengan perut kosong atau setiap kali sumber air sebuah kampung kering.
Jika anda sedang membaca rencana ini di telefon pintar dan selesa di rumah sendiri, bermakna anda lebih bernasib baik daripada berjuta-juta orang lain. Persoalannya, apa yang akan anda lakukan dengan kelebihan itu?-UTUSAN
PENULIS ialah Aktivis Belia Alam Sekitar, Ahli Panel Konsultasi Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD), Universiti Putra Malaysia (UPM).










