BINTULU: Menempah bekalan dadah dari pembekal di Miri menerusi WeChat dan kemudian menggunakan perkhidmatan kiriman bas ekspres untuk menghantar dadah dari Miri ke Sibu.
Itu modus operandi digunakan satu sindiket pengedaran dadah di Sibu, yang terbongkar setelah beberapa ahli sindiket digempur oleh polis pada 3 September lalu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak berkata sindiket yang aktif sejak pertengahan tahun lepas itu turut menjadikan rumah sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah.
“Dadah ditempah oleh pelanggan melalui panggilan telefon, Whatsapp dan WeChat.
“Runner digunakan untuk menghantar dadah kepada pelanggan dengan cara meletakkannya di lokasi tertentu di sekitar Sibu.
“Sindiket kemudian menghubungi kembali pelanggan untuk memaklumkan tempat dadah tersebut diletakkan,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, hari ini.
Terdahulu, Saifullizan berkata berdasarkan maklumat risikan, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak telah menyerbu sebuah rumah di Jalan Lilin, Sibu kira-kira pukul 10 pagi, 3 September lalu dan berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun.
Katanya dengan berpandukan suspek, polis telah merampas 100 biji pil ekstasi dianggarkan seberat 219.20 gram di dalam rumah tersebut dan menangkap seorang perempuan tempatan berusia 33 tahun.
“Seterusnya dengan berpandukan suspek, polis telah pergi ke sebuah rumah di Lorong Ulu Sungai Merah, Sibu dan merampas ekstasi seberat lebih 14.37 kilogram (kg), Erimin 5 seberat 126.84 gram serta ketamin seberat 149.70 gram.
“Sejurus kemudian bertempat di Lorong Ulu Sungai Merah, Sibu, polis telah menangkap seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang sedang menunggang motosikal dan pemboncengnya seorang perempuan tempatan berusia 27 tahun serta merampas syabu seberat lebih 2.16 kg,” katanya.
Saifullizan menambah, keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM479,506 dan polis turut menyita harta suspek iaitu sebuah kereta Lexus RX350, sebuah Perodua Axia, wang tunai sebanyak RM34,796 termasuk barang kemas bernilai RM268,738.
Beliau berkata ujian saringan air kencing juga mendapati suspek lelaki berusia 48 tahun dan perempuan berusia 33 tahun positif Amphetamine/ Methamphetamine, ketamin/ Benzo manakala dua lagi suspek didapati negatif dadah.
Katanya dua suspek lelaki kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mulai 5 hingga 11 September ini manakala kedua-dua suspek perempuan direman kali pertama mulai 5 hingga 8 September ini dan reman kali kedua mulai 9 hingga 12 September ini.
Sementara itu, Saifullizan berkata pihaknya juga berjaya mematahkan cubaan menyeludup 17 kg syabu yang dianggarkan bernilai RM663,000 ke Bintulu pada 2 September lalu.
Katanya dadah tersebut dikirim dari Semenanjung Malaysia menggunakan kargo udara.
“Bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan, dadah tersebut dibungkus di dalam kotak produk makanan berlabel ‘Coconut Sugar’,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak JSJN sedang giat mengesan pihak yang bertanggungjawab mendalangi kegiatan berkenaan.
Katanya kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, juga dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan. – UTUSAN









