JPJ sita 274 kenderaan perdagangan ‘bermasalah’

JPJ sita 274 kenderaan perdagangan ‘bermasalah’

MUHAMMAD KIFLI MA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 274 buah kenderaan perdangangan ‘bermasalah’ disita pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi penguatkuasaan Op Gempur Kenderaan Perdagangan sejak 1 September lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi bersepadu yang dilaksanakan di seluruh negara itu juga merekodkan sebanyak 13,071 notis saman atas pelbagai kesalahan serius.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 133,598 kenderaan perdagangan telah diperiksa menerusi operasi yang akan diteruskan sehingga 31 Disember ini.

“Jumlah saman yang tinggi membuktikan masih ramai pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan tidak mematuhi undang-undang asas jalan raya walaupun peraturan ini telah lama dikuatkuasakan.

“Antara kesalahan utama adalah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh, kenderaan tanpa insurans sah, tiada lesen vokasional serta pelbagai kesalahan teknikal lain,” katanya pada sidang akhbar di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, malam tadi.

Katanya, setiap daripada kesalahan tersebut tidak boleh dipandang ringan.

“Semua kesalahan yang direkodkan ini secara langsung membabitkan aspek keselamatan bukan sahaja pemandu malah pengguna jalan raya lain. Apabila pemandu tidak mempunyai lesen atau kenderaan tiada insurans, risiko yang ditanggung orang awam sangat besar sekiranya berlaku kemalangan,” jelasnya.

Menurutnya, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan semua tindakan penguatkuasaan akan dijalankan secara menyeluruh.

“Pemilik dan pemandu kenderaan perdagangan yang ingkar tetap akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

“Pematuhan undang-undang adalah tanggungjawab bersama, tidak ada alasan untuk mana-mana pengusaha atau pemandu mengabaikannya kerana keselamatan semua pengguna jalan raya perlu diutamakan,” jelasnya.

Muhammad Kifli berkata, operasi tidak hanya tertumpu di lebuh raya dan kawasan rehat, sebaliknya turut dilaksanakan di pelbagai lokasi lain yang dikenal pasti menjadi laluan utama lori dan bas.

“Tindakan tegas ini penting bagi memastikan semua kenderaan perdagangan yang masih berdegil segera mengambil langkah pembetulan dan mematuhi syarat sah operasi.

“Bagi kami, penguatkuasaan ini bukan bertujuan menghukum, sebaliknya mahu mendidik pemilik serta pemandu kenderaan perdagangan bahawa setiap peraturan jalan raya mempunyai tujuan jelas iaitu untuk melindungi nyawa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×