Kepala babi dengan tulisan nama ‘Macron’ ditemukan di hadapan sembilan masjid di Paris - Utusan Malaysia

Kepala babi dengan tulisan nama ‘Macron’ ditemukan di hadapan sembilan masjid di Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Beberapa kepala babi ditemui di hadapan sembilan masjid di Paris dan kawasan sekitarnya pada Selasa, dengan lima daripadanya mempunyai nama Presiden Perancis Emmanuel Macron, menurut pihak berkuasa.

Insiden itu berlaku ketika sentimen anti-Islam semakin meningkat di negara berkenaan yang menempatkan lebih enam juta umat Islam iaitu populasi Muslim terbesar di Eropah.

“Kita mahu rakyat Muslim di negara ini dapat mengamalkan agama mereka dengan aman,” kata Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau kepada media.

Ketua Polis Paris, Laurent Nunez berkata beliau tidak menolak kemungkinan campur tangan kuasa asing dalam usaha mengganggu kestabilan Perancis yang kini berdepan krisis fiskal dan politik.

“Kita tidak boleh mengetepikan persamaan dengan insiden sebelum ini, yang selalunya berlaku pada waktu malam dan akhirnya dibuktikan berpunca daripada campur tangan asing,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.

Perancis sebelum ini menuduh Russia cuba menimbulkan perpecahan. Pada Mei lalu, tiga lelaki Serbia ditahan selepas sinagog dan memorial Holocaust dicemari dengan cat hijau, dipercayai ada kaitan dengan kuasa asing.

Menurut pejabat pendakwa Paris, empat kepala babi ditemui di masjid sekitar Paris, manakala lima lagi di pinggir ibu kota. Unit polis khas kini menyiasat insiden tersebut atas dakwaan menghasut kebencian berunsur diskriminasi.

“Itu sesuatu yang sangat mengecewakan dan menyedihkan untuk dilihat. Kalau mereka boleh lakukan ini, apa lagi yang mereka sanggup buat?” kata Alim Burahee, presiden sebuah masjid di Paris yang menemui kepala babi berkenaan sekitar jam 5 pagi Selasa.

Menurut laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Perancis pada 2024, insiden berunsur perkauman semakin meningkat. Antara Januari hingga Jun 2025 sahaja, Kementerian Dalam Negeri merekodkan 181 insiden anti-Muslim, meningkat 81 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua pertubuhan yang menentang diskriminasi terhadap Muslim (ADDAM) Bassirou Camara memberitahu Reuters bahawa jemaah masjid kini semakin berasa takut memandangkan rasa tidak selamat dan stigma terhadap Muslim kian menebal sejak beberapa bulan lalu.

Pada Jun lalu, seorang tukang gunting rambut warga Tunisia ditembak mati oleh jirannya, sehingga memaksa pendakwa antikeganasan membuka siasatan kes bunuh pertama yang dipercayai berpunca daripada ideologi pelampau sayap kanan.

Manakala pada April, ribuan orang turun ke jalan membantah pembunuhan seorang lelaki Mali yang ditikam mati di sebuah masjid oleh seorang penceroboh, yang turut menghina Islam sambil merakam kejadian itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×