KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan di semua fasiliti Liquefied Natural Gas (LNG) di sekitar Bintulu diperketatkan selepas pegawai Petronas menerima mesej ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pegawai Petronas yang bertugas di Bintulu mendakwa ada menerima beberapa mesej ugutan daripada individu tidak dikenali.
“Terdapat pegawai di Petronas menerima beberapa ugutan daripada individu yang tidak dikenali melalui SMS dan teks, jadi setelah beberapa kali menerima ugutan tersebut dia membuat laporan polis.
“Justeru kita menasihati semua kepada pihak Petronas untuk mempertingkatkan keselamatan di fasiliti masing-masing,” katanya selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Polis ke-218 di Bukit Aman, semalam.
Susulan itu, menurutnya, pihak polis di semua kontinjen-kontinjen turut membantu bagi memastikan fasiliti-fasiliti Petronas dalam keadaan baik.
“Pihak polis di semua kontinjen-kontinjen juga membantu selain perkara-perkara yang berkaitan dapat kita selenggarakan dengan baik dan sempurna demi keselamatan negara,” katanya.
Media semalam melaporkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan amaran bahawa pihaknya telah menerima pemakluman berhubung ancaman keselamatan terhadap fasiliti-fasiliti Gas LNG di dalam negara, khususnya di Bintulu.
Menerusi satu kenyataan media, MKN telah mengarahkan semua fasiliti LNG yang beroperasi di sekitar Bintulu untuk memperketatkan kawalan keselamatan serta-merta buat sementara waktu.
“Ini untuk membolehkan pihak keselamatan dan pihak bertanggungjawab melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman tersebut,” katanya.
MKN turut mengingatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan perkembangan situasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Dalam kenyataan itu, MKN meminta agensi-agensi keselamatan negara untuk kekal bersedia berdepan dengan kemungkinan dan telah mengambil langkah-langkah kawalan terhadapan ancaman keselamatan.
Sementara itu, dalam program yang sama, seramai 257 pegawai dan anggota polis menderma darah.
Mohd. Khalid berkata, program tahunan itu dianjurkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi.
Katanya, program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penderma malah membantu masyarakat dan negara keseluruhannya. – UTUSAN










