Country Garden Pacificview teroka penjagaan kesihatan

Country Garden Pacificview teroka penjagaan kesihatan

MD. OTHMAN Yusof (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Tan Hui Jing sambil disaksikan oleh Ling Tian Soon (belakang) pada Majlis Menandatangani MoU antara Country Garden Pacificview Sdn. Bhd., dan Oriental Holdings Berhad di Forest City, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Country Garden Pacificview Sdn. Bhd., (CGPV) dan Oriental Holdings Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan, pembinaan dan operasi sebuah kemudahan penjagaan kesihatan di Forest City.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Oriental Holdings, Datuk Seri Tan Hui Jing berkata, nilai pelaburan bagi pembangunan yang dicadangkan itu dijangka mencecah RM750 juta

“Ini mencerminkan komitmen kukuh dalam menjadikan Forest City sebagai destinasi penjagaan kesihatan serantau.

“Kemudahan penjagaan kesihatan yang dirancang ini bakal menawarkan pelbagai perkhidmatan komprehensif, termasuk rawatan perubatan dan pembedahan dalam pelbagai bidang kepakaran seperti onkologi, geriatrik, perubatan pernafasan, pembedahan kolorektal, bedah saraf serta pembedahan ortopedik.

“Ia juga akan menempatkan pusat diagnostik makmal dan pengimejan canggih, pusat rawatan kanser serta program kesejahteraan dan pemulihan,” katanya selepas Majlis Menandatangani MoU tersebut di sini hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Hui Jing dan Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn  Bhd., Datuk Md. Othman Yusof serta disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Direka bentuk dengan penekanan terhadap inovasi, keselesaan pesakit dan kecemerlangan klinikal, projek berkenaan menyasarkan untuk menarik kehadiran pesakit tempatan dan antarabangsa, sekali gus menyumbang terhadap pertumbuhan pelancongan perubatan di negeri Johor.

MoU berkenaan juga menandakan langkah strategik kedua-dua pihak untuk memanfaatkan kepakaran dan kekuatan masing-masing dalam memacu pembangunan berimpak tinggi di kawasan Iskandar Malaysia.

Kemudahan penjagaan kesihatan itu akan direka bentuk untuk memenuhi keperluan bukan sahaja rakyat Malaysia, malah pelanggan dari Singapura dan antarabangsa, sekali gus  menjadikan Forest City sebagai destinasi pilihan bagi perkhidmatan perubatan dan kesejahteraan yang berkualiti.

Dalam pada itu, Md. Othman memberitahu, projek tersebut juga bertujuan merangsang ekonomi tempatan menerusi pewujudan peluang pekerjaan di samping meningkatkan penawaran gaya hidup sihat dan berkualiti di Forest City.

“Kami percaya penjagaan kesihatan yang berkualiti haruslah mudah diakses dan berpandangan jauh. Kerjasama ini membolehkan kami membawa perkhidmatan penting lebih dekat kepada komuniti sambil mewujudkan peluang pekerjaan dan kesejahteraan yang bermakna untuk penduduk setempat.

“Dengan inisiatif ini, Forest City memperkukuhkan daya tarikannya sebagai destinasi bernilai tinggi yang berhubung baik untuk penjagaan kesihatan dan kesejahteraan. Kami yakin kerjasama ini akan membuka ruang bagi pelaburan serantau serta sinergi rentas sempadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×