Diplomasi perlu berprinsip

Diplomasi perlu berprinsip

KEPIMPINAN negara perlu lebih berhati-hati dalam tindakan diplomatik melibatkan negara-negara yang pernah melanggar kedaulatan negara kita. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA terpanggil untuk meluahkan rasa kecewa dan terkejut apabila melihat gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjabat tangan dengan Pemimpin Tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang pernah turun ke hadapan Kedutaan Korea Utara pada 2017 untuk memprotes pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saya tidak dapat menggambarkan betapa dalamnya luka yang terbuka kembali.

Insiden tersebut bukan sekadar pembunuhan. Ia adalah serangan langsung terhadap kedaulatan negara kita. Seorang individu dibunuh secara terang-terangan di tanah air kita menggunakan VX nerve agent, sejenis senjata kimia yang diharamkan di peringkat antarabangsa. Ia bukan hanya jenayah antarabangsa tetapi penghinaan terhadap undang-undang, sistem keselamatan dan maruah Malaysia.

Susulan insiden itu, Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dan mengambil pendirian tegas. Rakyat Malaysia ketika itu bersatu hati menuntut keadilan dan kerajaan menunjukkan maruah negara bukan sesuatu yang boleh dipermainkan.

Namun kini, tanpa sebarang permohonan maaf, tanpa keadilan dan tanpa penjelasan kepada rakyat, kita melihat pemimpin kita sendiri berjabat tangan dengan pemimpin rejim yang bertanggungjawab atas kejadian itu.

Lebih menyedihkan, tindakan ini juga secara tidak langsung menghina perjuangan hak asasi manusia di Malaysia. Selama ini, pelbagai pertubuhan masyarakat sivil, aktivis dan badan hak asasi manusia bekerja keras untuk menegakkan prinsip keadilan, hak untuk hidup dan kedaulatan undang-undang.

Ya, diplomasi itu penting. Tetapi diplomasi tanpa prinsip adalah kelemahan. Jika ini adalah sebahagian daripada proses damai yang lebih besar dan melibatkan rundingan pelbagai hala secara telus, rakyat berhak untuk diberitahu. Tetapi setakat ini, tiada penjelasan, tiada penglibatan awam dan tiada keadilan.

Saya menyeru kepada kepimpinan negara agar lebih berhati-hati dalam tindakan diplomatik yang melibatkan negara-negara yang pernah melanggar kedaulatan negara dan mencabul prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.-UTUSAN

ISKANDAR KHOO KUAN YIAW
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×