Orang terlalu ramai punca bangunan runtuh ketika sambutan Maulidur Rasul di Indonesia - Utusan Malaysia

Orang terlalu ramai punca bangunan runtuh ketika sambutan Maulidur Rasul di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera apabila sebuah bangunan yang menjadi lokasi majlis bacaan al-Quran sempena sambutan Maulidur Rasul runtuh di Jawa Barat, Indonesia, semalam.

Menurut pegawai Agensi Tebatan Bencana Serantau (BPBD) Bogor, Mochamad Adam Hamdani, sebanyak 100 orang, kebanyakannya wanita menghadiri majlis tersebut di sebuah dewan komuniti sebelum bangunan itu tiba-tiba runtuh.

“Berdasarkan data awal, seramai 84 orang dirawat dan tiga orang meninggal dunia,” katanya kepada AFP.

Beliau menjelaskan bangunan berkenaan turut digunakan sebagai dewan mesyuarat dan tempat ibadat, dipercayai runtuh akibat terlalu sesak dengan kehadiran ramai jemaah.

“Mungkin struktur bangunan tidak cukup kukuh kerana orang ramai begitu bersemangat menghadiri acara memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.

Semua mangsa yang berada di dalam bangunan sudah berjaya dikeluarkan, dan mereka yang cedera segera dihantar ke hospital berhampiran serta kebanyakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

Adam turut menegaskan, cuaca ketika kejadian adalah baik tanpa hujan dan tiada tanda berlaku tanah runtuh.

Indonesia sebelum ini sering berdepan insiden melibatkan runtuhan bangunan akibat piawaian pembinaan yang longgar.

Pada 2022, sebuah pasar raya tiga tingkat di Kalimantan Selatan runtuh dan mengorbankan lima nyawa, manakala dua orang cedera dalam kejadian bangunan lima tingkat separa runtuh di Jakarta pada 2020.

Pada 2018, tujuh remaja yang sedang berlatih persembahan muzik terbunuh selepas bangunan yang mereka diami runtuh di Cirebon dan pada tahun sama, seramai 75 orang cedera apabila tingkat mezanin di bangunan Bursa Saham Indonesia, Jakarta runtuh ke ruang lobi utama. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×