PETALING JAYA: Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi mengumumkan rombakan besar membabitkan beberapa jawatan utama badan induk itu adalah sebagai persediaan menjelang kongres akan datang.
Menurutnya, langkah itu perlu bagi memastikan kelancaran pentadbiran selepas beliau mengambil alih peranan sebagai pemangku presiden.
“Selain itu, untuk penstrukturan jawatan sesuai saya selaku pemangku presiden, sebelum ini saya adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan.
Jadi, jawatan itu kita serahkan kepada Naib Presiden, Datuk Seri Rosmadi Ismail,” katanya.
Beliau turut menyusun semula portfolio lain yang sebelum ini digalasnya, termasuk Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Jawatankuasa Darurat serta Jawatankuasa Hubungan dan Ahli Gabungan.
Bagaimanapun, Mohd Yusoff mengekalkan kedudukan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Ahli Gabungan atas faktor mahu memperkukuh jaringan FAM bersama ahli gabungan sepanjang tempoh peralihan.
“Saya rasa dalam tempoh ini kita mesti memperkuatkan hubungan antara FAM dan ahli-ahli gabungan. Jadi saya minta jawatankuasa untuk mengekalkan saya dalam jawatan ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden, Datuk S Sivasundram dilantik menggantikan Mohd Yusoff sebagai Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL).
“Selepas ini, AFL akan diketuai Datuk Sivasundram. Beliau juga kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan, selain mengambil alih jawatan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur memandangkan beliau sudah lama terbabit dalam projek berkaitan,” katanya.
Selain Rosmadi yang mengambil alih jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, rombakan turut menyaksikan Naib Presiden FAM, Datuk Saaran Nadarajah dilantik mengetuai Jawatankuasa Pengadil.
“Kerusi Pengerusi Pengadil ini memang kerusi paling panas. Jadi lepas ini hal-hal berkaitan pengadil jangan cari Datuk Siva lagi, tapi cari Datuk Saren. Beliau akan lebih popular selepas ini,” katanya.
Beliau menegaskan, rombakan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga kongres FAM seterusnya dengan harapan ia dapat memperkukuhkan lagi perjalanan pentadbiran bola sepak negara. – UTUSAN










