PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd. Rawi Hussin yang kini menghidap penyakit saraf.
Sumbangan berupa bantuan kewangan dan bakul makanan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika menziarahi Mohd. Rawi di kediamannya di Taman Balok Pantai, Kuantan, Pahang.
Ahmad Farhan berkata, pemberian itu adalah tanda penghargaan terhadap pengorbanan Mohd. Rawi yang pernah berkhidmat untuk negara, meskipun jasa dan bakti beliau tidak ternilai dengan sebarang bentuk balasan.
“Sebaik tiba di rumahnya, Pakcik Mohd. Rawi tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata ketika kami menyapa beliau. Walaupun diuji dengan penyakit saraf, beliau tetap sabar dan tabah menempuh kehidupan sehari-hari.
“Hari Malaysia bukan sekadar tarikh dalam kalendar, tetapi peluang untuk kita mengenang jasa para pejuang bangsa. Pakcik Rawi adalah antara wira tanah air yang pernah berkorban demi keamanan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook yang turut dikongsikan Perdana Menteri.
Beliau turut mendoakan agar Mohd. Rawi dikurniakan kesihatan, kekuatan dan ketenangan, selain pengorbanan yang dicurahkan menjadi amal jariah berkekalan.- UTUSAN











