PETALING JAYA: Pelakon, Rozita Che Wan tampil menitipkan nasihat tentang cara pengendalian emosi buat para ibu yang berdepan dengan kekecewaan terhadap sikap anak-anak.
Rozita yang lebih mesra disapa sebagai Che Ta berpendapat, setiap wanita yang bergelar ibu perlu diam dan menghadam segala emosi setiap kali berdepan dengan konflik bersama anak.
“Jadi emak ini, walau hati terluka, walau berkecil hati,
kita pilih untuk diam dan simpan.
“Bukan sebab tidak sakit. Tetapi sebab anak tetap anak. Kita redha dengan takdir, dan hanya mendoakan yang baik-baik,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam masa sama, Che Ta turut berpandangan bahawa setiap ibu tidak perlu mencanang kesedihan mereka agar diketahui umum, cukup belajar untuk redha serta menyerahkan segalanya kepada Sang Pencipta.
“Kerana air mata seorang ibu tidak perlu disaksikan dunia. Cukuplah Allah yang tahu, dan hati seorang ibu yang belajar untuk redha,” tulisnya.
Perkongsian spontan tersebut turut meraih pelbagai respons dari kalangan warganet yang rata-ratanya bersetuju dengan pelakon tersebut di ruangan komen.
Malah, ada segelintir pihak yang berpendapat gelaran seorang ibu bukanlah tiket untuk mereka salah guna kuasa dalam membimbing anak-anak.
“Ya, jangan salah gunakan kuasa veto hanya sebab kau emak. Kau pun hamba Tuhan. Kau pun akan disoal,” kata seorang netizen.
“Di dunia sebagai anak perlukan doa kedua ibu bapa, tapi di alam kekal sebagai org tua kita perlu kan doa anak-anak,” komen seorang pemilik akaun.










