Tarif: 88 pengendali pos seluruh dunia gantung perkhidmatan ke AS

Tarif: 88 pengendali pos seluruh dunia gantung perkhidmatan ke AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Trafik pos ke Amerika Syarikat (AS) menjunam lebih 80 peratus selepas Washington melaksanakan tarif baharu, dengan 88 pengendali pos di seluruh dunia menggantung sebahagian atau sepenuhnya perkhidmatan mereka, menurut Kesatuan Pos Sedunia (UPU) semalam.

UPU, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyelaras kerjasama pos antarabangsa, kini sedang membangunkan penyelesaian teknikal segera bagi membolehkan penghantaran surat dan bungkusan ke AS disambung semula, kata Ketua Pengarahnya, Masahiko Metoki dalam satu kenyataan.

Langkah itu diambil susulan pentadbiran Presiden Donald Trump menghapuskan pengecualian cukai bagi bungkusan kecil yang memasuki AS bermula 29 Ogos lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan itu mencetuskan pengumuman daripada perkhidmatan pos di beberapa negara termasuk Australia, Britain, Perancis, Jerman, India, Itali dan Jepun di mana kebanyakan bungkusan ke AS tidak lagi diterima.

Menurut UPU, data elektronik yang dikongsi antara pengendali pos menunjukkan trafik ke AS merosot 81 peratus pada 29 Ogos berbanding seminggu sebelumnya.

“Sebanyak 88 pengendali pos memaklumkan kepada UPU, mereka kini menggantung sebahagian atau sepenuhnya perkhidmatan pos ke AS sehingga penyelesaian dilaksanakan,” jelas kenyataan itu.

Langkah itu melibatkan 78 negara anggota PBB termasuk Bosnia dan Herzegovina serta sembilan wilayah lain antaranya Macau dan Kepulauan Cook.

Perubahan peraturan AS itu meletakkan tanggungjawab kutipan cukai kastam kepada syarikat pengangkutan atau pihak yang diluluskan oleh Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS

Namun, syarikat penerbangan enggan menanggung beban tersebut manakala pengendali pos pula belum mewujudkan hubungan dengan pihak yang diluluskan, sekali gus mengakibatkan gangguan operasi besar-besaran.

Menurut UPU, dalam tempoh 12 bulan lalu, sebanyak 15 peratus daripada jumlah keseluruhan trafik pos dunia adalah melibatkan penghantaran ke AS.

Daripada jumlah itu, 44 peratus datang dari Eropah, 30 peratus dari Asia dan baki 26 peratus dari negara lain serta kebanyakannya merupakan bungkusan kecil yang digunakan dalam urusan e-dagang. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN