JAKARTA: Seorang lagi anggota polis Indonesia yang memandu kenderaan perisai sehingga menyebabkan kematian seorang penghantar makanan, Affan Kurniawan dalam protes jalanan di ibu negara diturunkan pangkat selama tujuh tahun.
Ketua Brigedier Rohmat didapati bersalah melanggar etika pasukan semasa perbicaraan tatatertib pada Khamis, namun tidak dipecat.
Menurut Suruhanjaya Polis Nasional (Kompolnas), tindakan Rohmat adalah berdasarkan arahan ketuanya, Komander Cosmas Kaju Gae, yang sudah dipecat sehari sebelum itu.
Komisioner Kompolnas, Ida Oetari Poernamasasi, memaklumkan kenderaan perisai Brimob yang dipandu Rohmat mempunyai banyak titik buta, dan cermin sisi kiri yang rosak menjadikannya sukar untuk melihat persekitaran dengan jelas dalam keadaan rusuhan.
Presiden sidang Jawatankuasa Etika, Komisioner Kanan Heri Setiawan, menyifatkan tindakan Rohmat sebagai ‘keji, dan menjelaskan hukuman penurunan pangkat selama tujuh tahun itu selari dengan baki tempoh perkhidmatannya dalam pasukan polis.
Lima lagi anggota Brimob yang berada di dalam kenderaan semasa kejadian turut berdepan perbicaraan tatatertib.
Kompolnas juga mencadangkan kesemua tujuh anggota polis yang terlibat dikenakan pertuduhan jenayah.
Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terkorban sepanjang siri demonstrasi, termasuk seorang lagi penghantar makanan di Makassar.
Desakan rakyat terhadap keadilan dan perubahan sistem mula memberi kesan nyata apabila Parlimen Indonesia mengumumkan pembatalan elaun perumahan bulanan sebanyak 50 juta rupiah (RM12,897) kepada wakil rakyat.
Selain itu, cadangan untuk menaikkan gaji ahli Parlimen turut dibatalkan, dan larangan terhadap lawatan luar negara yang tidak penting telah dikuatkuasakan. Speaker Dewan, Puan Maharani, mengesahkan langkah-langkah ini sebagai tanda mereka mendengar suara rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan pelajar, aktivis media sosial dan NGO tempatan mula bertemu dengan ahli-ahli Parlimen untuk mengemukakan senarai tuntutan dikenali sebagai “17+8 Tuntutan Rakyat”, yang merangkumi ketelusan bajet negara, pembebasan segera penunjuk perasaan yang ditahan, serta pelaksanaan langkah kecemasan untuk melindungi pekerja kontrak daripada pemberhentian kerja besar-besaran.










