SINGAPURA: Mahkamah Rayuan Singapura menolak permohonan terakhir seorang banduan warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman, yang sebelum ini dikenakan hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah ke republik itu.
Permohonan penangguhan hukuman yang difailkan Pannir dibuat sementara menunggu keputusan prosiding tatatertib melibatkan aduannya terhadap bekas peguamnya kepada Persatuan Undang-Undang Singapura.
Dalam prosiding itu, mahkamah meneliti hujahan dasar penjadualan pelaksanaan hukuman mati oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sepatutnya dilaksanakan secara saksama ke atas semua banduan tanpa pengecualian.
Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Sundaresh Menon bagaimanapun berpendapat bahawa tiada bukti kukuh dikemukakan oleh Pannir untuk menunjukkan bahawa MHA telah mengubah dasarnya secara tidak sah.
Mahkamah menjelaskan pihak berkuasa berhak mengubah dasar selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip undang-undang, dan beban untuk membuktikan ketidakabsahan dasar tersebut terletak sepenuhnya di atas bahu pemohon.
Mahkamah turut menolak hujahan terdapat layanan berbeza terhadap banduan yang menunggu hukuman mati, bergantung kepada sama ada keterangan mereka diperlukan dalam prosiding yang dibawa oleh pihak negara atau bukan.
Mahkamah menegaskan semua banduan yang tergolong dalam kategori ini telah disabitkan mengikut proses perundangan yang sah, dan perbezaan dasar tersebut tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan mahupun bersifat tidak munasabah atau tidak rasional.
Dalam penghakiman bertulisnya, mahkamah turut menyatakan alasan kedua yang dibawa Pannir Selvam berkaitan kes prosiding yang melibatkan empat banduan lain kini tidak lagi relevan, memandangkan kes tersebut turut ditolak sebelum ini.
Pannir Selvam disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 2 Mei 2017 bagi kesalahan membawa masuk 51.84 gram diamorfin (heroin) ke negara itu.
Dia dikenakanhukuman mati mandatori, dan rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 9 Februari 2018. Petisyen pengampunan yang dikemukakan kepada Presiden Singapura juga ditolak.
Sebelum ini, Pannir Selvam diberikan dua kali penangguhan pelaksanaan hukuman. Kali pertama pada Mei 2019 bagi membolehkannya mencabar keputusan pendakwa raya yang tidak mengeluarkan sijil bantuan substantif, dan kali kedua pada Februari 2025 sementara menunggu keputusan permohonan pasca rayuannya yang kini turut ditolak.
Keputusan Mahkamah Rayuan semalam secara tidak langsung menutup semua ruang undang-undang untuk Pannir, menjadikan hukuman mati terhadapnya kini hampir pasti dilaksanakan dalam tempoh terdekat.











