Hantar surat layang bukan budaya Bersatu

Hantar surat layang bukan budaya Bersatu

Surat layang
HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Budaya membuat surat layang tidak pernah wujud dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebaliknya parti itu meraikan keseluruhan ahli sebagai sebuah keluarga besar.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dakwaan penghantaran surat layang memfitnah ahli parti sendiri tidak pernah berlaku, justeru akar umbi diminta tidak membawa budaya berkenaan ke dalam Bersatu.

“Jangan dibawa budaya yang tidak baik (budaya surat layang). Jangan dibawa budaya ini ke dalam parti. Tidak ada budaya surat layang. Tidak ada budaya cucuk mencucuk. Ini adalah keluarga besar,” katanya ketika berucap pada Perasmian Sayap-sayap Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris dilapor mendedahkan, kewujudan surat layang yang memburukkan Hamzah dengan dakwaan terdapat percaturan untuk menjatuhkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau tidak dapat mengesahkan kesahihan surat berkenaan, namun mengambil perhatian atas kewujudan surat berkenaan.

Hamzah dalam ucapannya menegaskan bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) merupakan pilihan raya yang amat penting bagi menentukan hala tuju negara.

“Kita harus sedar PRU akan datang bukan hanya semata-mata untuk Bersatu dan PN (Perikatan Nasional), tetapi terpikul atas bahu kita semua.

“Jika salah memilih pemimpin, akan ranap, musnah, hancur dan berkecailah segala susah payah (generasi terdahulu) selama ini ditumpah untuk mendaulatkan maruah bangsa,” tegasnya.

Katanya, beliau mahu ahli parti fokus memenangkan Bersatu dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Tambahnya, sekiranya kemenangan dapat dikecapi di Sabah, beliau yakin PN mempunyai peluang besar untuk menang pada PRN Melaka dan Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×