Warga emas harap kemudahan awam lebih mesra golongan tua

Warga emas Perak harap kemudahan awam lebih mesra golongan tua

Kassim Mohamad (kiri) dan rakannya, Atan Yosup, 59, ditemui di Teluk Intan, Perak semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Menjelang 2030, Perak dijangka muncul sebagai negeri dengan jumlah warga emas tertinggi di Malaysia apabila 20.5 peratus daripada penduduknya berusia lebih 60 tahun.

Seiring perkembangan itu, golongan berkenaan berharap kerajaan mempertingkatkan kemudahan kesihatan yang lebih mesra pengguna, khususnya melibatkan urusan di klinik dan hospital.

Antara cadangan utama termasuk penyediaan petak parkir khas, pengurangan masa menunggu di kaunter serta penambahan tempat duduk di ruang menunggu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang pesara kerajaan, Kassim Mohamad, 81, berkata masalah tempat letak kereta sering menyukarkan warga emas yang mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Tempat letak kereta selalu penuh. Kami terpaksa parkir jauh atau di luar kawasan, kadang-kadang kena saman. Kalau ada petak khas untuk warga emas seperti disediakan untuk OKU, itu lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau juga menekankan ke­perluan tempat duduk mencukupi kerana ramai pesakit lanjut usia terpaksa menunggu berjam-jam.

Sementara itu, Ishak Yop Mohamad, 74, berkata keperluan kesihatan merupakan isu paling mendesak.

“Bila sudah berusia, banyak hal perlu diurus sendiri termasuk memandu ke klinik dan farmasi. Harapan kami kerajaan sediakan akses lebih mudah untuk rawatan,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, negeri itu sedang membangunkan sistem dan garis panduan kemudahan mesra warga emas dengan mengambil inspirasi daripada model Jepun.

Menurut beliau, antara pendekatan yang dirancang ialah penggunaan konsep penarafan seperti Indeks Bangunan Hijau (GBI) dalam pembinaan kemudahan baharu supaya lebih inklusif kepada golongan berusia.

Mengikut data 2020, Perak merekodkan 8.9 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas, tertinggi di Malaysia, dengan daerah Kampar paling ramai warga emas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini