Kombinasi tekstur rangup di luar dan gebu di dalam, menjadikan pavlova kekal sebagai pemanis mulut kegemaran ramai.
Namun, jika anda mahu sesuatu yang berbeza, apa kata cuba pavlova matcha perkongsian Noor El Enisa Abd. Ghani.
Sentuhan teh hijau Jepun ini bukan sahaja memberikan warna hijau lembut yang cantik, malah menyuntik aroma unik antara manis dan sedikit pahit.
Bahan-bahan:
4 biji putih telur
1 sudu teh cuka putih atau jus lemon
200 gram gula kastor
1 sudu teh tepung jagung
6 sudu teh serbuk matcha (4 sudu teh untuk pavlova & 2 sudu teh untuk krim)
500 mililiter krim putar
(bukan tenusu)
Cara penyediaan pavlova:
Masukkan putih telur ke dalam mangkuk bersih dan pukul dengan kelajuan sederhana hingga berbuih.
Masukkan cuka putih atau jus lemon dan pukul hingga putih telur menjadi lebih gebu.
Tuang gula kastor sedikit demi sedikit sambil memukul adunan hingga kental, berkilat dan membentuk stiff peak.
Ayak empat sudu teh serbuk matcha bersama tepung jagung.
Gaulkan perlahan ke dalam adunan meringue menggunakan spatula.
Letakkan adunan di atas loyang beralas kertas minyak.
Bentukkan bulatan dengan bahagian tengah sedikit melengkung (untuk isi krim).
Cara pembakaran:
Panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah Celcius terlebih dahulu.
Turunkan suhu kepada 110 darjah Celcius dan bakar selama 70 hingga 80 minit.
Biarkan pavlova sejuk dalam ketuhar supaya tidak retak ketara.
Pukul krim putar hingga kental.
Ayak dua sudu teh serbuk matcha ke dalam krim dan gaul sebati.
Cara hidangan:
Setelah pavlova sejuk, isi krim matcha di bahagian tengah.
Hiaskan dengan buah segar atau taburan serbuk matcha untuk sentuhan akhir.-UTUSAN










