Tanggungjawab masyarakat atasi pencemaran mikroplastik

Tanggungjawab masyarakat atasi pencemaran mikroplastik

TANGGUNGJAWAB untuk mengurangkan pencemaran mikroplastik bukan sahaja terletak pada bahu kerajaan atau industri tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENCEMARAN mikroplastik semakin mendapat perhatian masyarakat global disebabkan kesannya yang serius terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

Antara langkah yang boleh diambil ialah menganjurkan program pembersihan komuniti secara berkala. Melalui aktiviti gotong-royong, masyarakat bukan sahaja dapat membersihkan persekitaran tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang bahaya plastik terhadap manusia dan hidupan liar. Komuniti juga boleh bekerjasama dengan pusat kitar semula untuk mengumpul serta mengitar semula sisa plastik seperti botol dan bekas makanan.

Kerajaan memperkenalkan Pelan Hala Tuju Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018–2030 sebagai langkah strategik. Dasar ini perlu disokong melalui pematuhan terhadap larangan atau caj penggunaan plastik serta dengan menghentikan penggunaan barangan seperti penyedut minuman plastik, botol air sekali guna dan beg plastik.

Sokongan masyarakat terhadap dasar ini juga akan memberi isyarat kepada pihak industri untuk beralih kepada alternatif mesra alam.

Penyediaan kemudahan kitar semula, penggunaan pembungkusan yang mudah terurai dan pelaksanaan dasar mesra alam di premis perniagaan adalah langkah penting ke arah persekitaran yang lebih bersih.

Insentif seperti potongan harga kepada pelanggan yang membawa bekas sendiri boleh digalakkan, sementara caj tambahan untuk beg plastik boleh terus dilaksanakan sebagai usaha mendidik pengguna.

Pendidikan pengguna juga memainkan peranan penting. Sebagai contoh, masyarakat harus diberi maklumat jelas tentang bahaya mikroplastik terhadap kesihatan seperti potensi untuk masuk ke dalam rantai makanan melalui air minuman, makanan laut dan udara.

Kajian menunjukkan pendedahan jangka panjang terhadap mikroplastik boleh menjejaskan fungsi sistem pernafasan dan pencernaan, selain membawa risiko kepada sistem hormon manusia.

Selain amalan harian, masyarakat boleh menyokong perniagaan dan jenama yang komited kepada prinsip kelestarian. Dengan memilih produk yang dibungkus menggunakan bahan mampan dan menyokong pengeluar tempatan yang mengamalkan proses mesra alam, pengguna dapat mencetus perubahan dari bawah ke atas.

Akhir sekali, pendidikan alam sekitar harus diperkasakan sejak di bangku sekolah. Dengan mendidik generasi muda tentang kepentingan menjaga alam dan kesan jangka panjang pencemaran mikroplastik, kita sedang membina asas kepada masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan berdaya saing dalam menangani isu global.-UTUSAN

SYAZA ATIKAH NIZAR dan FAIZ BUKHARI MOHD. SUAH
Pusat Pengajian Sains Kimia,
Universiti Sains Malaysia (USM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×