PASIR MAS: Seorang mudir pondok disambung reman tujuh hari bermula esok bagi membantu siasatan kes liwat seorang remaja lelaki.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Pasir Mas. Lelaki berusia 46 tahun itu direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 377C, Seksyen 5 dan 14(d) Akta Kesalahan -Kesalaham Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sementara itu menurut sumber, lelaki terbabit ditahan pada pukul 4.06 petang pada 29 Ogos lalu di dalam sebuah kereta sekitar Tumpat, dekat sini.
Penahanan itu dibuat susulan laporan yang dibuat oleh mangsa iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun mendakwa mudir itu melakukan liwat dan amang seksual terhadapnya.
Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie mengesahkan menerima laporan tersebut.
“Reman pertama bermula 30 Ogos lalu yang berakhir esok dan reman disambung lagi untuk membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










