China nafi jemput Putin, Jong-un ke perarakan perang bagi menentang AS - Utusan Malaysia

China nafi jemput Putin, Jong-un ke perarakan perang bagi menentang AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China semalam mempertahankan keputusannya menjemput Presiden Russia, Vladimir Putin, dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua di Beijing yang turut dihadiri Presiden Xi Jinping.

Sambutan itu menyaksikan perarakan besar-besaran ketenteraan China, sekali gus mencetuskan kritikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang menuduh ketiga-tiga pemimpin tersebut bersekongkol menentang Washington.

“Salam hormat saya kepada Vladimir Putin dan Kim Jong-un, ketika kamu berpakat menentang Amerika Syarikat (AS),” tulis Trump dalam satu hantaran di laman Truth Social.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, ketika ditanya mengenai tuduhan Trump, menegaskan jemputan itu adalah bagi memperingati sejarah, menghargai jasa pejuang, serta menggalakkan keamanan.

“Hubungan diplomatik China dengan mana-mana negara tidak pernah ditujukan terhadap pihak ketiga,” katanya.

Sementara itu, Kremlin menyifatkan dakwaan Trump penuh dengan sindiran.

China turut memberi reaksi lebih keras terhadap kritikan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas, yang menyifatkan kemunculan Xi, Putin dan Kim bersama sebagai usaha membina ‘dunia baharu anti-Barat’.

Guo membidas kenyataan itu sebagai berbaur ideologi, tidak berasaskan pengetahuan sejarah dan hanya menghasut perpecahan.

“Kenyataan seperti ini amat menyesatkan dan tidak bertanggungjawab. Kami berharap pihak berkenaan meninggalkan sikap prejudis serta keangkuhan, dan sebaliknya melakukan perkara yang menyumbang kepada keamanan serta kestabilan dunia dan hubungan China-Eropah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×