PETALING JAYA: Mesyuarat perniagaan sempena lawatan kerja ke China telah membuahkan potensi pelaburan berjumlah RM905 juta dan prospek eksport sehingga RM2.2 bilion dalam sektor semikonduktor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil itu membuktikan keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan berdaya saing, selain memperkukuh kedudukan negara dalam rantaian bekalan global.
“Lawatan ini meneguhkan Malaysia sebagai sahabat diyakini, rakan dagang disegani dan suara lantang menegakkan keadilan di pentas dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, lawatan yang diadakan atas jemputan Presiden Xi Jinping turut memperkukuh persahabatan Malaysia–China serta mengeratkan hubungan peribadi dengan Presiden Xi dan Premier Li Qiang.
Menurut Anwar, pencapaian itu selari dengan aspirasi kerajaan untuk mengukuhkan kerjasama strategik dengan China, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi yang memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.
Tambahnya, Malaysia komited memastikan peluang pelaburan dan perdagangan yang terhasil dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjana pertumbuhan ekonomi, mencipta pekerjaan baharu dan meningkatkan daya saing negara. – UTUSAN










