“KEMUNDURAN negara tidak akan terjadi kalau tidak kemunduran budi dan kekusutan jiwa.” – Buya Hamka.
Ketika kemeriahan dan semangat patriotisme sedang hangat dirasai di seluruh negara, ada baiknya kita memperingati pengorbanan pejuang negara yang mempertaruhkan nyawa untuk membela dan mempertahankan kedaulatan Malaysia.
Mereka bukan sahaja menjadi bukti maruah bangsa tidak boleh diinjak tetapi lebih besar lagi, pengorbanan menjadi saksi Malaysia hanya akan terus merdeka dan berdaulat dengan adanya rakyat yang sanggup bermatian untuk negara ini.
Sebab itu, tiada jalan yang lebih baik untuk menghargai pengorbanan wira negara kecuali dengan memastikan rakyat Malaysia hidup menyayangi negara dengan sepenuh raga.
Rasa cinta ini direalisasikan dalam pelbagai bentuk dan yang paling utama adalah dengan membangunkan kemantapan budi dan memperkasa jiwa yang menghargai kedaulatan negara.
Ini termasuklah menjadikan krisis di negara jiran sebagai teladan agar perkara yang sama tidak berlaku di negara ini. Meskipun krisis di Indonesia bermula dengan kebebalan politikus negara itu yang tidak endah kepada kegusaran rakyat, namun kini tragedi demi tragedi di seluruh negara Indonesia berterusan kerana kemarahan rakyat sudah tidak dapat dibendung lagi.
Mana mungkin pemberontakan rakyat dapat dilembutkan dalam pada dasar dan undang-undang yang keras menginjak ekonomi rakyat sudah diperkenalkan sejak 2000 lagi.
Sebagai contoh, Rang Undang-Undang (RUU) Cipta Kerja yang digubal Indonesia sebagai jalan mendepani cabaran ekonomi pasca pandemik Covid-19, dibantah kerana dikatakan menghakis hak pekerja dan melemahkan perlindungan kepada alam sekitar.
Walaupun pada asalnya kemarahan terhadap RUU ini bagai berdengking si tua memekik, mustahil akan menggigit jema, tetapi akhirnya kemarahan yang dikawal sejak RUU Cipta Kerja diperkenalkan akhirnya melahirkan keganasan yang tidak dapat diredakan lagi. Tambahan lagi melihatkan perilaku politikus di Indonesia yang seperti tidak sedar tekanan menyepit isi perut rakyat marhaen.
Sewajarnya ahli politik di Malaysia yang gian bermain api dengan dasar pembangunan yang mengundang kerugian kepada rakyat perlu sedar dan turut sama berhati-hati. Sudahlah dengan penggubalan dan penggarapan dasar yang mendesak ketika ekonomi dan kuasa membeli rakyat semakin dirasakan mengecil.
Jangan sampai rakyat Malaysia juga merasa terdesak dan sanggup kehilangan nyawa untuk memperjuangkan maruah diri pula.
Tanpa dasar yang mengharmonikan kebimbangan rakyat, sentimen ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat akan terus menebal dan menjadi bom jangka masa. Apa yang perlu hanyalah masa tepat untuk sesuatu isu membakar sumbu dan menanti kesan ledakan.
Maka, sebagai pihak yang memegang tampuk pimpinan negara, kerajaan harus lebih bijaksana dalam memastikan undang-undang yang digubal memelihara kebajikan dan keselamatan rakyat.
PENDAFTARAN SIVIL
Antara pindaan dasar yang sudah begitu lama tertangguh adalah berkaitan dengan kewarganegaraan bagi kanak-kanak di kawasan pedalaman. Meskipun pindaan telah diadakan bagi melindungi kanak-kanak daripada keluarga transnasional yang lahir di luar negara, namun pindaan ini tidak sepenuhnya membantu kanak-kanak yang lahir di dalam negara khususnya mereka yang berada di pedalaman wilayah negara.
Ambil saja contoh ratusan kanak-kanak yang lahir di kawasan pedalaman Sabah. Bukan sahaja akses kepada pendaftaran sivil sukar diraih tetapi juga rasa prejudis yang menebal dalam kalangan penjawat awam sehingga menidakkan dokumen pengenalan diri rasmi kepada lebih 300,000 penduduk di Sabah.
Amat pelik konflik perundangan ini masih berkekalan sehingga hari ini sedangkan saban tahun isu penurunan kadar kelahiran negara dibangkitkan dan diwacanakan dengan berdegar-degar.
Apa guna rakyat Malaysia melahirkan anak di bumi Malaysia jika akhirnya mereka tidak diiktiraf negara semata-mata kerana kerumitan dasar dan proses birokrasi yang menindas hak asasi mereka?
Minggu ini untuk kali keenam, saya akan ke bumi Lahad Datu sekali lagi untuk menyantuni komuniti tanpa dokumen di pedalaman Sabah. Seperti tahun-tahun sebelum ini, kami pasti akan ditanyakan pelbagai soalan cepumas bagaimana proses pendaftaran sivil dapat dipermudahkan untuk membolehkan mereka mendaftar kelahiran anak-anak mereka.
Saya sering mendengar aduan komuniti di Sabah tentang tawaran memintas ranjau birokrasi untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri asalkan mereka sanggup membayar dengan harga yang lumayan.
Maka bagi saya, tidak pelik bagaimana berpuluh orang pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara boleh terpalit dengan isu korupsi dan penyelewengan.
Cumanya saya terfikir, adakah pegawai awam yang bekerja untuk negara ini sudah hilang rasa sayang terhadap negara hingga sanggup merendahkan nilai kerakyatan?
Kadang kala dirasakan seolah-olah menjadi rakyat yang patuh undang-undang di Malaysia dan tidak sanggup berlaku curang kepada negara adalah tidak setimpal.
Mereka yang jujur menyayangi negara dipinggirkan sedangkan pengkhianat negara berleluasa dengan kekayaan mereka. Sentimen dipinggir dan ditindas mampu menebal dan membakar api kemarahan dalam rakyat di kawasan pedalaman yang masih kekal hidup dalam kerentanan ekonomi yang tegar.
Ketika rantau ini sedang bergolak dengan krisis politik yang hebat, Malaysia sepatutnya menjadikan setiap krisis sebagai sumber pengajaran agar rakyat dipujuk untuk menyayangi negara ini melangkaui rasa tidak puas hati atau marah kepada sistem negara.-UTUSAN
PENULIS ialah aktivis #TagupiMembaca.










