BRUSSELS: Manchester City perlu meningkatkan ketahanan mental bagi menyaingi pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang semakin mempamerkan kemajuan.
Pemain sayap City, Jeremy Doku berkata, tewas dua daripada tiga perlawanan awal EPL mencerminkan kelemahan yang ada dalam pasukan termasuk moral pemain jatuh selepas ketinggalan.
“Keadaan tidak berjalan dengan baik, selepas perlawanan pertama, semua orang rasa baik, tetapi selepas itu, ia jadi lebih sukar. Saya rasa kami cepat hilang semangat apabila dibolosi.
“Dari segi mental, kami perlu lebih kuat,” kata pemain antarabangsa Belgium itu ketika ditanya mengenai prestasi City pada sidang akhbar menjelang perlawanan menentang Liechtenstein, Khamis ini.
Skuad kendalian Pep Guardiola hanya meraih tiga mata daripada tiga perlawanan awal musim baharu EPL.
Selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers dalam aksi pembukaan, mereka tewas kepada Tottenham Hotspur dan Brighton & Hove Albion dalam dua perlawanan berikutnya.
Menurut Doku, kemerosotan prestasi City juga mungkin berpunca daripada rehat yang tidak mencukupi selepas beraksi di Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat (AS) pada Jun lalu. – AGENSI/UTUSAN










